24 Oktober 2011

Kerajaan ambil berat 10 deklarasi

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Kerajaan mengambil berat 10 deklarasi yang dikemukakan oleh Himpunan Sejuta Umat (Himpun) khususnya mengenai gesaan supaya Akta Murtad diwujudkan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun perkara berkait hal ehwal Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan Pusat juga mengambil maklum mengenai gesaan berkenaan.

“Apa-apa akta yang berkait hal ehwal agama ia terletak di bawah kerajaan negeri dan saya percaya pihak kerajaan negeri akan beri pertimbangan yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Himpun yang dianjur khusus bagi mempertahan akidah umat Islam daripada aktiviti murtad di Stadium Shah Alam menuntut, 10 perkara untuk dilaksanakan antaranya mempercepatkan kewujudan Akta Murtad.

Dalam pada itu, Najib mengucapkan tahniah kepada Himpun kerana berjaya mengadakan perhimpunan tersebut dalam keadaan aman dan terkawal, bukan seperti demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katanya, itulah hasrat kerajaan ketika menawarkan stadium kepada penganjur Bersih 2.0 tiga bulan lalu, tetapi pihak terbabit menolak mentah-mentah kerana golongan itu lebih mementingkan laba politik.

“Berbanding dengan kekecohan ketika Bersih 2.0 dengan perhimpunan Himpun semalam sangat berbeza. Apabila ia dibuat dalam suasana terkawal di dalam stadium tiada siapa yang merasa terganggu.

“Kita juga akan kaji apa yang berlaku semalam sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meminda Seksyen 27 Akta Polis bagi membenarkan perhimpunan secara aman tetapi ia mesti selari dengan norma undang-undang,” katanya.

/hwa: utusan.com.my | 24/10/11

Tiada ulasan: