22 November 2011

Masyarakat Islam kecewa sikap Pas

ALOR SETAR 21 Nov. - Tindakan kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan Madrasah Salihiah Kanchut di sini bagi pembinaan sebuah kompleks beli-belah sangat mengecewakan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, UMNO Kedah membantah tindakan tersebut kerana ia bukan sahaja membelakangkan masyarakat Islam, tetapi juga bercanggah dengan usaha memartabatkan syiar Islam.

"Tindakan ini boleh dinilai oleh rakyat bahawa kerajaan Pas Kedah cuma tahu bercakap sahaja mengenai agama, namun surau yang sudah diwakafkan lebih 100 tahun ini pun ingin dirobohkan atas nama pembangunan.

"Di mana sebenarnya perjuangan kerajaan Pas ini? Tiada usaha untuk mewujudkan langkah membela masyarakat Islam dengan mempertahankan madrasah terbabit, tindakan Pas juga telah menjatuhkan kredibiliti parti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena Minggu Diabetes Parlimen Alor Setar di sini, baru-baru ini.

Isnin lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, surau berkenaan akan dirobohkan bagi membolehkan tapaknya dibina kompleks beli belah, manakala sebuah surau baharu akan dibina di bawah kompleks itu sebagai ganti madrasah berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan negeri itu dibantah kariah madrasah tersebut dan beberapa tokoh masyarakat negeri ini yang menyifatkan langkah tersebut sebagai meminggirkan Islam dan membelakangkan ajaran agama itu demi kemajuan dunia.

Tegas Ahmad Bashah, UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri mengkaji semula keputusan merobohkan madrasah itu demi kepentingan masyarakat Islam setempat.

"Banyak anggota masyarakat dan tokoh agama membantah tindakan itu, jadi ia patut dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengekalkan madrasah tersebut walaupun kawasan itu ingin dibangunkan.

"Madrasah itu bukanlah madrasah biasa tetapi berusia lebih 100 tahun dan wajar dimartabatkan bukan dirobohkan," katanya.

Tambah beliau, surau baharu di kompleks beli-belah yang akan dibina seperti dijanji oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak boleh menggantikan fungsi madrasah terbabit.

"Jika benar madrasah ini terpaksa dirobohkan gantikan dengan tapak baharu di kawasan terbabit, bukan di dalam kompleks beli-belah yang cuma mengecilkan fungsi madrasah.

"Madrasah ini sewajarnya dimartabatkan di tempat yang sesuai bukan diletakkan dalam pusat beli-belah. Entah apa yang berada dalam fikiran Menteri Besar ini," katanya.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Tiada ulasan: