22 November 2011

Perbetulkan semula persepsi – TPM

Oleh ABD. HALIM HADI TALIB

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tanggungjawab memperbetulkan semula persepsi masyarakat terhadap parti merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh setiap ahli UMNO dan para pemimpin Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran itu bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani kerana perubahan pemikiran masyarakat sekarang memerlukan pendekatan berbeza dilakukan.

“Ini perubahan pemikiran yang saya tahu sudah berlaku dalam masyarakat kita, jadi cara nak urus perubahan tidak lagi seperti dahulu. Hari ini dengan ilmu, teknologi dan informasi, kita kena bijak menguruskan keadaan.

“Sekarang kita perlu beritahu perkara yang mempunyai asas pertimbangan, ketelusan dan hak asasi. Hal ini sudah jadi lumrah di dalam pemikiran sekarang, yang mana dahulu tidak begitu menyerlah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2011 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putra, Kajang hari ini.

Muhyiddin mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung masalah dalaman yang dihadapi UMNO dan BN melalui wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia.

Muhyiddin berkata, selain keterbukaan pemikiran yang dipengaruhi perkembangan semasa, cabaran mendapatkan sokongan rakyat juga semakin sukar disebabkan penghayatan sejarah dan semangat perjuangan yang semakin berkurangan.

“Berbanding zaman Tun (Dr. Mahathir) dan zaman sebelum itu, situasi sudah berubah sekarang.

“Masyarakat dahulu mengingati sejarah perjuangan, terlibat dengan perjuangan kemerdekaan dan tahu tentang itu. Generasi baharu tidak terikat dengan beban masa lampau, dia lihat situasi baru dan lihat masa depan,” katanya.

Muhyiddin menyifatkan kritikan bekas Presiden UMNO itu sebagai satu penilaian yang ikhlas kerana beliau sayangkan parti dan mahu melihat kerajaan terus dipertahankan.

“Teguran yang beliau buat itu membina, saya tidak fikir Tun (Dr. Mahathir) berniat sesuatu yang tidak baik kerana beliau cintakan UMNO dan kita harus mengambil berat tentang pandangan itu.

“Saya juga setuju dengan beliau usaha kita tak cukup lagi, belum cukup mantap sebab itu cabaran bagi kita dalam parti memang besar sekali,” tambah beliau.

Mengulas andaian kononnya UMNO dan BN tidak mengambil langkah mengukuhkan parti dan kerajaan, beliau menjelaskan, pentadbiran kerajaan tidak begitu lancar ketika proses peralihan jawatan tertinggi negara.

/hwa: utusan.com.my | 22/11/11

Tiada ulasan: