6 Disember 2011

Portal IslamGRID rujukan tepat berkaitan Islam

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Portal IslamGRID dilancarkan hari ini bertujuan menyediakan wadah rujukan yang tepat bagi mendapatkan panduan, bimbingan dan penerangan berkaitan agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pelaksanaan menerusi sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu diharap dapat dimanfaat oleh seluruh masyarakat di negara ini.

Menurut beliau, portal tersebut menyediakan panduan meliputi semua bidang dalam Islam antaranya soal jawab agama, rujukan al-Quran dan hadis, ibadat haji, wakaf dan status makanan halal.

"Portal IslamGRID bukan sekadar tentang soal jawab agama, tetapi ia diibarat seperti Google yang boleh dilayari bagi mendapatkan apa sahaja maklumat yang tepat tentang Islam," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran tersebut di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Jamil Khir turut melancarkan seminar kali kedua IslamGRID, Pelan Strategik Teknologi Maklumat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011-2014 serta program realiti TV, Adik-Adikku musim ketiga.

Jamil Khir berkata, portal kerjasama pintar antara Jakim dan MAMPU itu merupakan satu bentuk dakwah baru kepada masyarakat.

Katanya, ia turut membabitkan para pegawai Jakim dalam memberi input dan kepakaran masing-masing khususnya dalam penyediaan kandungan portal yang sahih dan berwibawa.

"Kita menyedari bahawa semua teknologi itu adalah alat dan saluran. Di samping kandungan yang baik dan bermanfaat ia membenarkan juga penyebaran kandungan dari luar yang 'tidak baik'," katanya.

"Justeru portal ini menyediakan kandungan berasaskan Islam yang tulen dan sebenar bagi mengimbangi 'kebanjiran kandungan luar' yang boleh mengancam akidah dan nilai moral umat Islam," katanya.

Beliau berkata, portal tersebut juga merangkumi aktiviti, program dan projek ICT Islam yang diterajui Jakim serta melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

/hwa: utusan.com.my | 6/12/11

Tiada ulasan: