11 Disember 2011

Selepas Perhimpunan Agung UMNO

Oleh Mior Kamarul Shahid

2011/12/11
SEHARI selepas Perhimpunan Agung UMNO 2011 minggu lalu, pemimpin pembangkang tergesa-gesa berkumpul di satu majlis yang mereka namakan Rapat Rakyat di Shah Alam, Selangor. Tentunya Rapat ini dirancang lebih awal, yang sengaja diatur kononnya untuk mematah apa juga hujah yang tercetus pada Perhimpunan Agung UMNO itu. Ini menunjukkan mereka cuak kepada kesan Perhimpunan Agung UMNO itu. Jika tidak, apa perlunya mereka memanggil rapat itu. Mereka bimbang impak perhimpunan itu akan melemahkan pengaruh pembangkang. Mereka tahu Perhimpunan Agung UMNO mampu meneguhkan pengaruh UMNO termasuk menarik kalangan orang muda dan kumpulan atas pagar untuk menyokong parti itu. Agaknya akibat bimbang pengaruh UMNO terus berkembang, maka ia memaksa pembangkang yang semakin terdesak, untuk bertindak balas. Pembangkang mengelabah kerana berasakan sokongan terhadap UMNO kian meningkat. Ini menunjukkan momokan mereka kononnya untuk merampas Putrajaya sebagaimana mereka laungkan, hanyalah omong kosong. Hakikatnya mereka begitu takut menghadapi Barisan Nasional (BN) yang sudah bangkit daripada kejutan pada pilihan raya 2008.

Selepas seminggu berlalu, perwakilan masih bercakap mengenai setiap detik dan peristiwa sepanjang perhimpunan yang berakhir 3 Disember itu. Mereka masih mengingati segala ucapan, ungkapan, seloka dan kenangan manis sewaktu berada di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu. Berasas kepada maklum balas di beberapa bahagian UMNO, menunjukkan bahang perhimpunan itu masih belum reda. Orang UMNO terus berbincang mengenainya bila mereka bersua muka di mana saja. Bagi mereka yang tidak memihak kepada UMNO, mereka bercakap mengenainya tetapi dengan nada yang berbeza untuk mencari kesalahan, jika ada. Disebabkan rata-rata orang mengatakan perhimpunan agung itu adalah yang terakhir sebelum PRU-13, momentum yang meningkat mengenainya tidak boleh dimatikan. Ini adalah cabaran getir pertama kepada setiap perwakilan UMNO untuk memastikan setiap hujah, nasihat, pandangan dan arahan, disampaikan ke peringkat akar umbi. Semangat yang membara itu perlu diteruskan selama yang boleh. Paling lama, mereka mesti mampu bertahan sehingga April 2013, sebelum tempoh kerajaan hari ini berakhir. Ia menjadi ujian ketahanan mental sehinggalah PRU-13. Jika semangat perwakilan sendiri suam sebelum tiba masanya, bermakna mereka bukanlah orang UMNO sejati.
Bagi mengisi fasa pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO itu, setiap perwakilan perlu pastikan mereka sudah pun memanjangkan segala maklumat yang mereka peroleh dan pelajari kepada akar umbi supaya mereka faham perkembangan semasa, khasnya perkara yang dibincangkan pada perhimpunan itu ketika ia masih panas. Dengan ini, setiap orang UMNO akan mempunyai maklumat yang kemas kini dan terbaru. Jika terlalu sibuk atau mengambil masa terlalu panjang untuk berbuat demikian, mungkin maklumat yang ahli mereka peroleh kelak, datangnya daripada orang lain dan mungkin sudah ditokok tambah. Sebenarnya, momentum bagi menghadapi pilihan raya, sudah pun dirasai. Cuma, yang belum pasti, adakah momentum itu tulen, sengaja dibuat-buat atau ia reaksi spontan. Apa pun, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mempunyai penilaian yang berbeza. Beliau tentunya tidak mahu membuat penilaian yang salah. Tidak ada orang lain yang mampu membuat penilaian paling tepat selain Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana beliaulah yang mempunyai segala maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber. Dengan segala maklumat inilah beliau membuat perkiraan dan memutuskan tarikh pilihan raya. Buat masa ini, beliau membenarkan setiap orang membuat ramalan.
Soalnya, apakah BN sudah benar-benar bersedia untuk masuk ke gelanggang. Sekadar untuk menang pilihan raya kali ini, BN tidak perlu fikir panjang, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Atas kertas dan berasaskan sokongan rakyat, BN tidak ada masalah untuk terus kekal mentadbir kerajaan. Rakyat pasti akan terus memberi mandat kepada BN. Oleh itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan pada bila-bila masa. Tapi, jika mahu menang selesa atau majoriti 2/3, BN memerlukan strategi tersendiri. Strategi tidak boleh dihebohkan kerana ia tidak lagi menjadi strategi jika sudah menjadi pengetahuan umum. Ramai yakin, Najib masih lagi mengumpul dan menganalisis data serta maklumat sebelum beliau membuat ketetapan mengenai tarikh pilihan raya. Tentulah perkiraan beliau berbeza daripada pemimpin pembangkang. Pemimpin pembangkang terpaksa akur kepada tarikh yang ditetapkan walaupun kerajaan-kerajaan negeri milik pembangkang, boleh untuk tidak mengikut pilihan raya pada tarikh yang ditetapkan. Sebenarnya, pembangkang berada dalam dilema jika enggan membubar DUN kerajaan negeri masing-masing. Berasaskan ramalan, keputusan pilihan raya memihak kepada BN. Ia akan memberi kesan besar kepada pembangkang. Apabila kerajaan negeri pembangkang membubarkan DUN masing-masing secara berasingan nanti, mereka akan digempur. Ini adalah antara perkara yang difikirkan oleh pembangkang.

Pada masa ini pembangkang berada pada tahap tidak selesa kerana sokongan terhadap parti mereka kian merosot. Dengan perebutan kerusi dan perbalahan calon yang berlaku dalam parti pembangkang, mereka sebenarnya menunggu masa untuk mengisytihar perang sesama sendiri. Pengundi sedar PAS terdesak mengharapkan undi kaum Cina untuk membolehkan mereka menang di kawasan majoriti Melayu. PAS membuat congakan, jika mereka mendapat sebahagian undi Melayu dan memperoleh sebahagian undi bukan Melayu, mereka meramalkan boleh menang. Itulah sebabnya PAS sanggup mengubah prinsip perjuangannya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam dengan pelaksanaan hukum hudud kepada negara berkebajikan. Kemudian kepada memperjuangkan semula negara Islam. Kemudian, selepas dibantah oleh DAP, maka PAS mengubah semula pendiriannya kepada perjuangan yang tidak tentu hala. Itulah sebabnya, perjuangan PAS untuk melaksanakan hudud tidak akan dimasukkan dalam manifesto parti itu. PAS sebenarnya terpaksa memikirkan bahawa sekiranya sebelum ini orang Melayu mengubah pendirian mereka menyokong parti itu, kali ini orang Melayu berbalik kepada BN. Orang Melayu dan Islam atas pagar sukar menerima PAS yang akur kepada tuntutan DAP. Orang Cina yang menyokong PAS sebelum ini juga tahu bahawa PAS hanya mahukan undi mereka untuk memastikan parti itu menang. Orang Cina sebenarnya tidak yakin kepada PAS kerana parti itu mungkin melaksanakan hudud setelah mendapat kuasa kerana parti itu berasaskan agama. Dalam fikiran mereka, PAS akan bertegas mengenai hudud selepas mereka mendapat kuasa.

Begitu juga, bukanlah mudah bagi orang Melayu untuk mengundi calon DAP. Mereka sudah pun melihat belang DAP di Pulau Pinang, kekecohan yang mereka lakukan di Perak dan kelam-kabut yang terjadi di Parlimen. Rakyat sudah nampak bahawa apa yang mereka lakukan itu bukanlah untuk kepentingan negara tetapi untuk peribadi. Sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula kian pudar kerana tidak lagi mendapat sokongan pengundi. Setiap hari ramai yang keluar daripada parti itu kerana sedar parti itu tidak mempunyai perjuangan yang jelas. Selepas memerintah empat tahun di Selangor rakyat menganggap sokongan kepada parti itu adalah sia-sia. Di Pulau Pinang pula, sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri boleh dikatakan malap tetapi mereka mengharapkan undi kaum Cina. Di Kedah, rakyat mendapati kerajaan negeri lesu. Mereka akan menentukan sama ada mahu terus lesu atau maju. Jika mahu maju, mereka perlu mengubah kerajaan negeri. Di Kelantan, kerajaan negeri tidak boleh lagi begitu yakin untuk menang kerana kali ini kejutan mungkin berlaku terutamanya kerana mereka mahu pemimpin dan parti yang dinamik seperti BN, bukan pemimpin yang tidak ada pemikiran baru.

/hwa: bharian.com.my | 11/12/11

Tiada ulasan: