30 Januari 2012

Pembangkang fitnah BN tidak bantu rakyat - Noh

TANJONG KARANG 29 Jan. - Rakyat diingatkan agar tidak terjerat dengan tuduhan-tuduhan pakatan pembangkang, kononnya Barisan Nasional (BN) tidak pernah melakukan apa-apa untuk membantu meninggikan taraf hidup masyarakat semua kaum di negara ini.
Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, ingatan itu diberikan ekoran tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas ketika ini cuba mengelirukan rakyat dengan melemparkan tohmahan dan serangan terhadap program serta skim-skim bantuan kerajaan.
Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya satu helah untuk memburuk-burukkan kerajaan pimpinan BN, selain menyemai politik kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan negara.
"Kita lihat menerusi laporan media propembangkang, mereka sering membuat tuduhan tertentu, seperti kerajaan tidak bantu rakyat, bantuan yang diberikan kepada rakyat hanya untuk pilihan raya dan sebagainya.
"Namun, hakikatnya sepanjang 55 tahun memerintah, kerajaan BN telah banyak menyalurkan bantuan sebagai satu usaha dan tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan, meninggikan taraf hidup dan mengurangkan beban rakyat sehingga ke hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) Peringkat Negeri Selangor di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pakatan pembangkang hanya tahu bercakap dan membuat janji sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata, apabila rakyat menikmati hasil daripada pengurusan kewangan dan pentadbiran negara di bawah BN menerusi program-program, bantuan yang disediakan, mereka bertindak mengelirukan rakyat.
Tambah Noh, usaha kerajaan pimpinan BN membantu rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilihat apabila 100,000 keluarga seluruh negara daripada semua kaum dan berpendapatan rendah akan menikmati hasil daripada pendapatan pelaburan saham amanah di bawah Sara 1Malaysia.
Katanya, di bawah skim berkenaan, kerajaan menanggung RM100 juta kos faedah bagi pinjaman RM5,000 yang berikan kepada setiap mereka yang layak bagi tempoh lima tahun.
"Hasil daripada pinjaman pelaburan itu, mereka yang layak akan menerima pulangan RM13,000 dalam tempoh lima tahun. Mereka juga tidak perlu tanggung kadar faedah daripada pinjaman, inilah bukti kerajaan untuk membantu dan mendahulukan rakyat," jelasnya.
Pada masa yang sama, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang turut menyatakan, banyak lagi bantuan-bantuan yang disediakan kerajaan seperti bantuan persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan sebagainya.
"Bantuan tersebut diberikan kepada semua kaum atas dasar prinsip Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Inilah pendirian pentadbiran di bawah BN yang melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat.
"Banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan, tetapi rakyat tidak menyedarinya, seperti subsidi dan sebagainya. BN bukan seperti pembangkang yang bersifat seperti ayam yang 'telur sebiji, riuh sekampung'," katanya. 
/hwa: utusan.com.my | 30/1/12

Tiada ulasan: