BACHOK 12 Feb. – UMNO Kelantan yakin rakyat di negeri ini mampu
membuat keputusan untuk memilih kerajaan yang lebih baik dan menilai
dengan sewajarnya selepas 21 tahun berada di bawah pentadbiran Pas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang
Adek Hussin (gambar) berkata, dasar membantu dan membela kebajikan
rakyat menjadi tradisi dan amalan kepemimpinan UMNO yang dilaksanakan
secara berterusan selaras aspirasi dan hala tuju Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar
umbi dalam pelbagai keperluan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Rakyat sendiri pun sedar banyak kelemahan kerajaan Pas Kelantan
yang gagal menyelesaikan masalah rakyat dan tidak menunaikan janji yang
ditaburkan sepanjang pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika
ditemui pemberita selepas mengadakan ceramah di kawasan Dewan Undangan
Negeri (DUN) Tawang, di Pangkalan Cina, dekat sini malam tadi.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua UMNO
bahagian Bachok berkata, janji yang paling jelas gagal ditunaikan oleh
Pas Kelantan ialah membina jambatan di Pangkalan Cina, dekat sini yang
sepatutnya sudah siap dibina.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah menyatakan kesediaan untuk
membina jambatan berkenaan untuk memberi kemudahan kepada penduduk
kawasan berkenaan.
“Tetapi kita gagal untuk melaksanakannnya apabila kerajaan Pas
Kelantan bertindak membina cerucuk dan tiang jambatan di kawasan itu
tetapi tertangguh pembinaannya sejak sekian lama.
“Kini yang ada hanyalah tiang-tiang konkrit dan dalam saat hampir
pilihan raya ini kelihatan jentera berat ditempatkan di kawasan itu
untuk mengabui mata rakyat,” katanya.
Kata beliau, projek yang terbengkalai itu menyebabkan penduduk dari
beberapa kampung terpaksa menggunakan laluan yang jauh untuk ke pekan
Jelawat atau ke bandar Bachok terutama apabila jambatan Tok Guru di
Sungai Kuau roboh pada musim banjir akhir tahun lalu.
/hwa: utusan.com.my | 13/2/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan