PUTRAJAYA 6 April - Nama Datuk Seri Anwar Ibrahim
dikaitkan sebagai individu yang mendalangi penangkapan dan pendakwaan
terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk
Saidin Thamby, 76, atas tuduhan menerima rasuah RM1 juta, 14 tahun lalu.
Beliau yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan disebut bertindak demikian selepas menerima aduan
bertulis berhubung dakwaan Saidin menyeleweng wang RM1 juta yang
disumbangkan untuk UMNO Selayang.
Aduan melalui sepucuk surat itu dibuat oleh seorang individu, Frankie
Lee Kah Hoay pada 25 Mac 1998, setahun selepas cek itu diserahkan
kepada bekas wakil rakyat berkenaan di rumah beliau.
Dalam surat tersebut, Saidin didakwa gagal mengeluarkan resit
pembayaran walaupun RM1 juta telah diserahkan manakala tiada tanda
menunjukkan pembinaan bangunan UMNO Selayang telah dimulakan.
"Bekas Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu turut
bertanggungjawab memantau agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) memainkan
peranan penting terhadap penangkapan dan seterusnya pendakwaan ke atas
Saidin," demikian menurut penghakiman itu.
Ia diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini ketika
melepas dan membebaskan bekas wakil rakyat tersebut daripada tuduhan
menerima rasuah selepas menolak rayuan akhir Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara tersebut dinyatakan oleh Hakim Datuk Abdul Malik Ishak ketika
membacakan latar belakang kes yang terkandung dalam penghakiman setebal
88 muka surat itu.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Wira
Mohtarudin Baki sebulat suara berpuas hati bahawa Saidin tidak bersalah
dan mengetepikan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 dan perintah
agar penalti RM1 juta dibayar kepada kerajaan.
Saidin didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada bekas Pengerusi
Syarikat Nusantara Network Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hanifah Nordin pada 15
Mac 1997.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan selepas dua tahun iaitu ketika
kemuncak kontroversi yang dikaitkan dengan pemilihan UMNO Bahagian
Selayang yang diadakan pada 29 Mac 1998.
Latar belakang kes itu selanjutnya menyatakan, Hanifah turut
bertanggungjawab membuat aduan kepada Anwar berhubung penyerahan cek RM1
juta itu melalui surat bertarikh 3 April 1998.
Hakim Abdul Malik turut mengambil perhatian bahawa aduan oleh Frankie
kepada Anwar dibuat beberapa hari sebelum pemilihan UMNO Bahagian
Selayang berlangsung yang mana menyaksikan pertembungan tiga penjuru
antara Saidin, Hanifah dan seorang lagi calon bagi merebut jawatan
pengerusi.
Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa saksi-saksi
pendakwaan tidak mempunyai kredibiliti dan melakukan pembohongan ketika
memberi keterangan.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan