KUALA LUMPUR 23 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
disifatkan sebagai seorang yang sangat terkeliru dan hilang panduan
hidup kerana terdesak untuk mencapai cita-citanya bergelar Perdana
Menteri.
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad (gambar)
berkata, jika Anwar bukan seorang pemimpin yang sangat terkeliru,
beliau tidak menyokong keselamatan Israel kerana ia merupakan dosa
paling besar kepada seluruh umat Islam khususnya di Palestin.
Menurutnya, apatah lagi dahulu Anwar dikenali sebagai aktivis Islam
tetapi kini kerana terdesak untuk bergelar Perdana Menteri, beliau
sanggup melakukan apa sahaja termasuk rela menjadi alat kepada golongan
Yahudi selain bersekongkol dengan DAP.
"Anwar telah melakukan dosa yang paling besar kepada umat Islam dan
rakyat Malaysia. Pertamanya, kerana beliau mengiktiraf Israel (sokong
keselamatan Israel).
"Keduanya, kerana bersekongkol dengan DAP sebuah parti yang
memperjuangkan ideologi Malaysian Malaysia," katanya semasa berceramah
pada majlis pelancaran Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim
(TIBAI) di Kampung Baru, di sini malam semalam.
TIBAI diketuai bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Muhammad Zahid Md. Arip dan seramai 28 bekas pemimpin parti itu
dilantik sebagai ahli majlis syura untuk menghalang cita-cita Anwar
menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Ruhanie, satu lagi bukti kekeliruan Anwar ialah ketua
pembangkang itu menolak saranan beliau dan bekas rakan-rakannya dalam
UMNO sewaktu mula-mula dipecat dahulu, agar pergi ke Mekah untuk memohon
hidayah dan panduan daripada Allah SWT.
Sebaliknya, kata bekas Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional
(BNBBC) itu, Anwar bukan sahaja menolak mentah-mentah cadangan tersebut
tetapi memilih untuk mendengar 'nasihat' daripada beberapa pihak
tertentu supaya melakukan demonstrasi jalanan.
"Saya mengenali Anwar sejak 1969 dan bertahun-tahun menjadi salah
seorang daripada penyokong kuat beliau dahulu, saya tidak menyangka
Anwar yang dikenali sejak sekian lama, sanggup melakukan apa sahaja
untuk kepentingan diri sendiri," katanya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari
berkata, ketua pembangkang tidak layak untuk bercakap mengenai soal
ketelusan, integriti serta moral dalam sesebuah kerajaan kerana sewaktu
menjadi Menteri Kewangan beliau sendiri mengamal kronisme dan rasuah.
Katanya, kerana amalan kronisme dan rasuah itulah menyebabkan
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang hanya bergaji sekitar RM3,000
sebulan dari 1992 hingga 1996 mampu membeli saham bernilai RM8 juta
bersama isterinya, Shamsidar Taharin.
"Siapa yang bagi duit sebanyak itu kepada Azmin dan Shamsidar? Apakah
Anwar tidak terlibat dalam hal ini? Saya bekas setiausaha sulit beliau,
semasa zaman Anwar menerajui Kementerian Kewangan itulah kemuncak
kepada amalan rasuah dan kronisme," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan