26 April 2012

Cerita dongeng terbaru PKR

PADANG SERAI 24 April - Pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin bankrap idea apabila sanggup membuat dakwaan kononnya, 300,000 kaum India di negara ini masih belum mendapat MyKad.
Pengerusi MIC Kedah, S. Ananthan berkata, dakwaan liar tersebut lebih kepada dongeng dan bertujuan mengelirukan rakyat khususnya masyarakat India terhadap kerajaan.
"Nampaknya pemimpin mereka telah hilang idea dan kini tampil dengan dongeng terbaru. Masyarakat India sebenarnya sudah masak dengan perkara ini.
"Oleh itu, saya ingin sarankan kepada mereka lebih baik tulis novel mengenai pembohongan yang dilakukan selama ini. Selepas itu, edarlah kepada pengikut mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,000 penerima di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Keladi, dekat sini hari ini.
Hadir bersama ialah Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr. Chin Tung Leung.
Ananthan mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, N. Surendran baru-baru ini, yang mendakwa kononnya 300,000 masyarakat India di negara ini belum menerima MyKad dan taraf kewarganegaraan meskipun kerajaan dengan kerjasama MIC mengadakan program Pendaftaran MyKad sebelum ini.
Menurut Ananthan, MIC sebelum ini giat menjalankan usaha mendaftarkan kaum India dan hasilnya ramai di kalangan mereka menerima dokumen warganegara.
"Di Kedah misalnya, sebelum ini seramai 1,000 orang telah dikenal pasti tidak memiliki MyKad. Bagaimanapun, 761 daripada mereka telah diluluskan dan bakinya dalam proses menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara ," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 25/4/12

Tiada ulasan: