DONG ZONG nampaknya ingin menjadikan pendidikan Cina di Malaysia
sebagai peras ugut politik. Ia cuba mengambil kesempatan Pilihan Raya
Umum ke-13 sebagai agenda menekan Kementerian Pelajaran, melakukan
provokasi kepada orang-orang Cina supaya memperjuangkan isu-isu
melampau.
Ia jelas sekali perkauman dan tidak sensitif dengan perasaan kaum
lain dan tidak faham dengan Dasar Pendidikan Negara apalagi semangat
Perlembagaan Malaysia. Kalau isunya bersifat administratif penulis
percaya boleh diatasi dengan perbincangan.
Kalau ia sengaja dibangkitkan dengan maksud yang seiring dengan dasar
politik pembangkang Dong Zong sudah tidak rasional lagi. Menteri
Pelajaran telah sekian kali menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat
menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil seperti
yang dibimbangkan oleh setengah pihak atau didesak oleh banyak pihak
mengenai sekolah satu aliran.
Penggunaan bahasa ibunda di SJK(C) dan di SJK(T) tetap dipelihara dan
ia selari dengan Dasar Pendidikan Negara. Hal ini adalah sesuatu yang
unik bagi Malaysia kerana sebuah negara yang merdeka tidak banyak
menawarkan dasar sebegitu kepada kelompok minoritinya. Ia boleh
menyebabkan dualisme dalam sistem dan dasar.
Dalam masa sama orang Melayu sedar dan Kementerian Pelajaran pun
sedar puluhan ribu anak Melayu yang sedang belajar di SRJKC bagi
memperkukuhkan sistem vernakular itu. Terdapat kebimbangan di kalangan
pengkritik pendidikan orang Melayu terhadap orientasi kecinaan yang
bakal berlaku kepada generasi Melayu nanti bukannya orientasi
kebangsaan.
Keadaan begitu tidaklah menyebabkan orang Melayu bangun melakukan
provokasi kerana ada manfaat berbanding dari sudut penguasaan Bahasa
Cina dan subjek-subjek lain. Orang Melayu faham bahawa kebangkitan masa
depan Tanah Besar China ada kaitannya dengan diaspora Cina di seberang
laut dan psiki orang Cina mengalami perubahan kerana bangsa mereka bakal
menjadi sebuah Kuasa Besar.
Oleh itu isu pendidikan dan dominasi ekonomi sering dijadikan rujukan
oleh kelompok yang melampau dan ia memberi kesan terhadap usaha
mengarus perdanakan pendidikan negara. Ada kebimbangan di kalangan
banyak pihak bahawa desakan yang sedang berjalan tidak saja
memperkukuhkan aliran vernakular Cina supaya menjadi dasar rujukan
terhadap pendidikan kebangsaan tetapi juga isu Sekolah Menengah Cina
juga.
Terdapat tuntutan yang melampau supaya Sekolah Cina Persendirian yang
banyak terbina di Malaysia diberi pengiktirafan terhadap Sijil Unified
Examination Certificate sama statusnya dengan Sijil Pelajaran Malaysia.
Masalahnya, bahasa pengantar bagi aliran ini sepenuhnya Cina. Ia tidak
selari dengan Dasar Pendidikan Negara. Kurikulumnya tidak mengikut
urutan Kurikulum Malaysia dan bahan-bahan rujukannya pun banyak yang
datang dari sumber luar.
Pihak yang mencabar Dasar Pendidikan Negara memberikan alasan bahawa
Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf Bahasa Cina dan Pengajian Cina di
negara China. Mengapa pula kerajaan bersifat 'double-standard' dengan tidak mengiktiraf Sekolah Menengah Persendirian itu.
Pengiktirafan kerajaan terhadap kursus-kursus di England, Jerman atau
Amerika tidak semestinya menjadikan bahasa mereka sebagai bahasa
pengantar dalam sistem kita. Status Sekolah Menengah Persendirian Cina
di Malaysia sepenuhnya dikendalikan dalam Bahasa Cina. Apakah dengan
pengiktirafan itu nanti menyebabkan lulusan sekolah vernakular tidak
perlu masuk ke dalam Sekolah Menengah Kebangsaan.
Sekolah Menengah Kebangsaan adalah penting dalam konteks perpaduan di
Malaysia. Dasar Pendidikan Negara yang ingin memartabat Bahasa Melayu
dan Memperkasa Bahasa Inggeris harus dilihat sebagai usaha bijaksana
memperkukuh Bahasa Kebangsaan dalam masa yang sama memperteguh Bahasa
Inggeris sebagai Bahasa Antarabangsa bagi maksud ilmu dan kepakaran. Hal
ini tidak harus terjadi kalau pepatah mengatakan di mana bumi dipijak
di situlah langit dijunjung. Kalau orang Melayu tinggal di negara China
mereka akan akur dengan kepentingan bahasa Cina dan kepentingan
pendidikan Cina.
Pengalaman yang baik berlaku terhadap kelompok Cina Peranakan di
negeri-negeri Selat umpamanya, amat menarik untuk dijadikan teladan.
Walaupun mereka datang dari negara "Tamadun Besar" atau "Great
Civilization" tetapi keakuran mereka terhadap nilai-nilai dan budaya
setempat memberi warna yang menarik terhadap corak perpaduan kaum di
Malaysia.
Malaysia memerlukan Dasar Pendidikan yang menyatukan hubungan antara
kaum. Di samping menghormati bahasa ibunda sesuatu kaum dan meraikan
bidang-bidang keahlian dan kepakaran dari luar negara, pendidikan
kebangsaan kita harus teguh dengan prinsip kelainan dihormati tetapi
dasar utama ke arah perpaduan adalah sesuatu yang amat dituntut.
Kalau tidak faktor dominasi ekonomi atau kuasa beli akan akan menjadi
faktor penentu kepada kelangsungan pendidikan negara dan ia adalah
tidak sesuai bagi negara ini melainkan Dong Zong mempunyai agenda
tersembunyi terhadap hari depan Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 14/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan