24 April 2012

Ekuiti Bumiputera cecah RM167.7b

Oleh Badrila Jamlus
bisnes@hmetro.com.my
   
Datuk Seri Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak 
----------------------
PEMILIKAN ekuiti Bumiputera pada nilai tara meningkat kepada 23.09 peratus iaitu RM167.7 bilion pada 2010 berbanding 2008 iaitu 21.9 peratus bernilai RM127.4 bilion.
Angka itu diperoleh berasaskan keseluruhan ekuiti berjumlah RM726.4 bilion pada 2010 berbanding RM581.8 bilion pada 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera itu termasuk pemilikan individu, institusi kepentingan Bumiputera seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Agensi Amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).
Beliau berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera tertinggi mengikut sektor adalah industri kewangan, insurans dan takaful yang meningkat kepada 37.56 peratus bagi 2009 dan 38.97 peratus pada 2010.

“Industri perdagangan borong dan runcit adalah industri yang mempunyai bilangan syarikat Bumiputera tertinggi berbanding industri lain. Bagaimanapun, bilangan syarikat Bumiputera menurun daripada 73,230 pada 2009 kepada 70,216 pada 2010.

“Walaupun terdapat peningkatan ketara terhadap pemilikan ekuiti Bumiputera, namun ianya masih perlu ditingkatkan bagi mencapai sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sekurang-kurangnya 30 peratus pada 2020,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan enam industri yang mana Bumiputera mempunyai pemilikan ekuiti tertinggi, industri kewangan, insurans dan takaful adalah industri tertinggi dengan nilai pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat daripada RM53.35 billion kepada RM65.37 billion, iaitu peningkatan sebanyak 22.50 peratus.

Peningkatan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera adalah hasil usaha dan komitmen Kerajaan dalam meneruskan agenda pembangunan Bumiputera termasuk mengambil langkah untuk memperkukuhkan peranan institusi Bumiputera sedia ada.
Selain itu, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera diperkukuhkan lagi dengan memperluaskan takrif ekuiti sektor korporat merangkumi pemilikan hartanah dan aset serta harta intelek.

“Bagi tujuan ini, kerajaan mempertingkatkan peranan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) serta memperkukuhkan agensi lain seperti Perbadanan Hartanah Berhad (PHB) bagi memastikan peningkatan kekayaan Bumiputera termasuk pemilikan hartanah dan aset perniagaan seperti ruang niaga, bangunan komersial, harta intelek serta perkhidmatan lain,” katanya.
/HWA: hmetro.com.my | 24/4/12

Tiada ulasan: