29 April 2012

Guan Eng dicabar buktikan dakwaan bangunkan Pulau Pinang

PULAU PINANG 26 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuktikan dakwaan bahawa beliau berjaya membangunkan negeri ini sejak mengambil alih pentadbiran, empat tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya hanya menumpang hasil usaha pemimpin Barisan Nasional (BN) terdahulu yang telah menyediakan asas kukuh untuk kemasukan pelabur asing.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat sedar bahawa pembangunan yang dinikmati di negeri itu datangnya daripada bantuan serta sokongan Kerajaan Pusat.
"Bila dia (Guan Eng) ambil alih pentadbiran negeri ini, dia 'menenggek' sahaja.
"Dia sudah lupa yang buat dulu adalah BN termasuk agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kita tidak menghalang pelabur luar untuk melabur di mana sahaja termasuk Pulau Pinang," katanya.
Beliau berucap di depan kira-kira 10,000 orang yang hadir pada majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu.
Majlis tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung di Taman Iping, Batu Maung di sini tetapi terpaksa dipindahkan selepas mendapat bantahan daripada wakil rakyatnya, Abdul Malik Kassim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, pada sidang akhbar di Politeknik Seberang Perai, Bukit Mertajam, Muhyiddin mengulas mengenai pemindahan lokasi majlis tersebut.
Beliau memberitahu, kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya bersikap lebih terbuka dalam perkara sedemikian.
Katanya, pemimpin BN mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk menyampai serta menerangkan tentang dasar-dasar Kerajaan Persekutuan kepada rakyat di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
/HWA: utusan.com.my | 27/4/12

Tiada ulasan: