
MOHD. Shafie Apdal menyampaikan
replika cek kepada wakil peserta Felcra Lekir sambil diperhatikan oleh
Tajuddin Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Juzilman Basir (dua dari
kiri) di Felcra Lekir, Perak, semalam.
SITIAWAN 14 April - Tindakan tegas wajar diambil ke atas pemimpin
pembangkang yang didakwa bersikap biadab mempersenda raja-raja Melayu
ketika majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah, Rabu lalu termasuk mengharamkan mereka memasuki istana
atau menghadiri majlis diraja.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, selain
tindakan tatatertib, hukuman berlandaskan undang-undang sedia ada juga
wajar diambil ke atas mana-mana pemimpin yang mempersenda kemuliaan
serta kedaulatan raja-raja Melayu.
''Saya rasa pihak berkuasa boleh ambil tindakan, selain hukuman
tatatertib supaya nama mereka boleh disenarai hitam sebagai jemputan
(majlis diraja), tindakan juga perlu diambil kerana mereka mempersenda
raja yang menjadi antara asas Perlembagaan negara.
''Jika di Dewan Rakyat, mereka ini pasti sudah dihalau dan itu cara
terhormat. Kita bimbang kerana sudah boleh kita dengar perbuatan begini
mempersenda dan mengejek raja-raja. Mereka diberi penghormatan dan
dijemput hadir tetapi ini pula tindakan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis
Mesra Masyarakat Bersama Felcra yang turut dihadiri Pengerusi Felcra,
Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad,
Datuk Juzilman Basir di Padang Astaka Felcra Lekir di sini hari ini.
Mohd. Shafie diminta mengulas kenyataan seorang pegawai perubatan,
Dr. Rahman Kadir yang mempertahankan pendedahannya bahawa kejadian
beberapa pemimpin pembangkang mempersenda raja-raja Melayu ketika
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu
benar-benar berlaku.
Dalam laman sosial Facebook kelmarin, Dr. Rahman meluahkan rasa
kecewa terhadap tingkah laku biadab beberapa pemimpin pembangkang yang
mengejek dan mempersendakan raja-raja Melayu pemimpin kerajaan.
Sementara itu, ditanya desas-desus beliau akan bertanding kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum akan datang, Mohd.
Shafie menjelaskan, sekarang bukan masa untuk bercakap soal kerusi
pilihan raya yang perlu ditandingi.
''Sekarang masa untuk kita kerja. Kita perlu pastikan kemenangan
parti kerana itu lebih penting pada masa ini. Jangan fikir mana hendak
tanding, apa jawatan dan sebagainya, kita mahu menang," jelasnya.
Menjawab pertanyaan mengenai dakwaan kawasan pedalaman dan luar
bandar akan kekal sebagai 'simpanan tetap' kerajaan, beliau berkata,
Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengambil mudah tahap sokongan yang
diberikan oleh golongan itu selama ini.
''Walaupun indikasinya begitu, tetapi kita tidak boleh ambil mudah.
Kita tidak pernah mengabaikan golongan di luar bandar dan kita bersyukur
nampaknya mereka menghargai kita. Usaha untuk membantu penduduk luar
bandar akan terus dipergiatkan, itu jaminan kita kepada mereka,"
jelasnya.
/HWA: utusan.com.my | 15/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan