KEPALA BATAS 15 April - Janji-janji manis yang ditaburkan oleh
pembangkang bagi meraih undi dilihat tidak akan berjaya untuk
membolehkan mereka untuk mengambil-alih pentadbiran negara daripada
kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
berkata, ini kerana tiga janji yang ditawarkan oleh pembangkang iaitu
menghapuskan kutipan tol, gaji minimum RM4,000 sebulan dan memansuhkan
pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah
tidak masuk akal.
“Mereka boleh cakap apa yang mereka ingin cakap sebab tidak akan wujud satu keadaan mereka akan menunaikan janji mereka itu.
“Jadi, mereka cakap macam-macamlah yang tidak masuk akal yang
melibatkan duit rakyat, duit kerajaan yang begitu banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan
Konvokesyen Kesembilan Kolej Komuniti Negeri Perlis, Kedah dan Pulau
Pinang di sini hari ini.
Nor Mohamed mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri
Liow Tiong Lai bahawa negara akan muflis dalam tempoh dua tahun jika
pembangkang memerintah dan menunaikan tiga perkara yang dijanjikan dalam
siri kempen politik mereka sejak beberapa tahun lalu.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, BN yang
sudah mentadbir selama 55 tahun sudah masak dengan cara-cara mengurus
negara secara bijaksana.
“Manakala, parti pembangkang tiada sebarang pengalaman dari segi
pentadbiran negara. Jadi, mereka tiada harapan untuk ambil alih
Putrajaya,” katanya.
/HWA: utusan.com.my | 16/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan