KOTA BHARU 23 April - Kerajaan Pas Kelantan
menganggap isu bekalan air bersih yang menghimpit rakyat di negeri ini
sebagai 'remeh' biarpun pelbagai pihak membuat desakan supaya ia diatasi
secepat mungkin.
Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya,
Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman bahawa tidak
ada jenazah di negeri itu yang terpaksa ditayamum akibat ketiadaan air.
Malah beliau berkata, rakyat di negeri itu boleh hidup sehingga
mencapai usia lanjut menggunakan air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn.
Bhd. (AKSB) apabila dibangkitkan mengenai tahap kebersihan air yang
disalurkan kepada pengguna.
"Air perkara asas tidak perlu dipolitikkan, kita bagi tahu apa kita buat, kita akan cuba perbaiki setakat mana yang mampu.
"Saya harap semua wartawan yang ada hari ini boleh mandi, solat
Subuh, boleh ambil air sembahyang. Kelantan setakat ini tidak ada lagi
tayamum bila berlaku kematian.
"Kena ada bukti (air Kelantan tercemar), sebab yang mari periksa air
kita adalah Jabatan Kesihatan juga, setiap minggu periksa, kalau air
tidak elok, kita tidak lepas kepada pengguna, ada orang Kelantan umur
70, 80 dan 90 tahun, saya pun umur 58 tahun, guna air paip Kelantan
tetapi tidak ada masalah pun," katanya pada sidang akhbar di sini hari
ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kerajaan Pusat menyalurkan sebanyak
RM1.05 bilion kepada negeri ini untuk mengatasi masalah bekalan air
bersih.
Peruntukan itu diberikan dalam bentuk geran melalui agensi kerajaan
Pusat untuk menyediakan prasarana dan pinjaman tanpa faedah kepada
kerajaan Pas Kelantan.
Sementara itu, Md. Anizam berkata, kerajaan Pas Kelantan sedang berusaha menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menerima peruntukan secara
berperingkat-peringkat bagi tujuan itu dan kesannya tidak boleh dilihat
dalam masa terdekat.
"Peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak
RM347 juta sepanjang 12 tahun tidak menggambarkan keadaan sebenar di
tapak yang mana hanya tahun 2011 dan 2012 sahaja projek bernilai RM216
juta dilancarkan.
"Maka, belum ada impak yang diterima oleh AKSB khususnya dan rakyat amnya," katanya.
Beliau menambah, projek-projek menaik taraf loji rawatan air juga
belum siap dan bekalan arus elektrik belum diserahkan kepada AKSB
kecuali di loji Lojing yang melibatkan kos sebanyak RM10.5 juta.
Katanya, projek itu belum beroperasi kerana paip ke kawasan pengguna
belum siap dan hanya loji rawatan air di Aring diserahkan kepada AKSB
dengan kos RM1.2 juta pada 2006.
Tambahnya, kerajaan Pas Kelantan tidak dimaklumkan mengenai
projek-projek bekalan air yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan, Lembaga
Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Unit Penyelarasan Pembangunan
(ICU), Jabatan Perdana Menteri.
"Apa impak dan penyelesaian tidak dapat dipastikan. Projek ICU
sebanyak RM2.5 juta tiada dalam makluman AKSB mahu pun kerajaan negeri,"
katanya.
/HWA: utusan.com.my | 24/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan