KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini bukan
"kerajaan populis semberono yang tidak bertanggungjawab", malah
merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa berhemah dalam membuat dasar dan
membelanjakan wang negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, dalam membuat dasar dan berbelanja, kerajaan
tidak sesekali berniat untuk meranap mahupun membankrapkan negara.
"Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang
apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan. Sebaliknya
amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan
cakerawala tanpa memikirkan kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Laporan Tahunan Program
Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP)
2011 di Angkasapuri di sini, malam ini. Ia turut disiarkan secara
langsung di saluran RTM1.
Najib berkata, kerajaan BN juga tidak gentar untuk bersaing dalam
pasaran idea yang bebas dan kompetitif kerana dipilih secara demokratik
di dalam pilihan raya umum yang bebas dan adil.
"Kita mempunyai penuh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat
Malaysia memilih dan meneraca.
"Mereka tahu menilai yang mana intan yang mana kaca. Kita percaya
rakyat akan memilih kerajaan yang mempunyai “track record” yang
meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya,” katanya. -
BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan