14 April 2012

Kerajaan ikhlas lakukan transformasi

PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama kelmarin membuktikan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan transformasi.
Transformasi bermaksud perubahan secara menyeluruh dalam segenap bidang kepada bentuk yang lebih baik berbanding reformasi yang lebih menjurus kepada perubahan sempit untuk mengubah tingkah laku buruk yang diamalkan seseorang itu.
Sebenarnya, transformasi yang dibawa BN dengan memperkenalkan idea-idea baru bagi melakukan lonjakan berganda kepada negara adalah lebih baik berbanding reformasi jalanan pembangkang yang sarat dengan idea-idea lama yang langsung tidak menyumbang apa-apa kepada negara.
Salah satu transformasi yang telah dibuat BN melibatkan penggubalan dan pembentangan rang undang-undang terbaru tersebut.
Ia dilakukan secara terperinci melalui perbincangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak dua tahun lalu.
Perubahan ini selari dengan perkembangan demokrasi dunia sekali gus memenuhi kehendak rakyat yang mahukan undang-undang lapuk, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dimansuhkan.
Selain ISA, Najib pada September tahun lalu turut mengumumkan pemansuhan dua akta lain yang dianggap sudah ketinggalan zaman iaitu Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Buang Negeri 1957.
Jika sebelum ini, ISA membolehkan sesiapa yang dianggap mengancam keselamatan negara termasuk ahli politik ditahan polis tanpa bicara, rang undang-undang baru itu dengan jelas menggariskan tiada sesiapa boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politiknya. Mereka yang ditahan itu juga hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sehubungan itu, mana-mana pihak tidak boleh lagi menyamakan Malaysia dengan kerajaan junta tentera Myanmar yang sebelum ini menahan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi kerana fahaman politiknya yang berbeza.
Malaysia jelas sekali lebih baik berbanding Singapura yang telah menangkap dan memenjarakan pemimpin pembangkang republik itu, Dr. Chee Soon Juan semata-mata kerana berlainan fahaman politik.
Rang-rang undang itu menggariskan empat kesalahan bukan politik yang dianggap mengancam keselamatan negara termasuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta.
Ia juga membabitkan kesalahan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan untuk mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.
Rang undang-undang baru itu turut menetapkan tempoh maksimum penahanan seseorang individu tidak melebihi 28 hari bagi tujuan siasatan berbanding ISA sehingga 60 hari atau penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri.
Satu keunikan selaras dengan perkembangan zaman adalah pemasangan peranti pengawasan elektronik dengan kelulusan mahkamah di badan tiga kumpulan individu yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan, tetapi dilepaskan oleh polis dengan jaminan.
Ia melibatkan seseorang yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan dan seorang yang sakit atau uzur.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz yang mengulas perkembangan itu berkata, ia membuktikan kerajaan menepati janji untuk melakukan pelbagai penambahbaikan setelah memansuhkan ISA.
Beliau berkata, pemindahan kuasa penahanan suspek kepada mahkamah merupakan salah satu aspek penambahbaikan yang ditunggu banyak pihak.
"Sebelum ini, kita bimbang suspek tidak berpeluang mendapat pembelaan sekiranya kuasa menahan itu diletakkan pada individu tertentu (Menteri Dalam Negeri) sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang turut sependapat dengan Shamrahayu bahawa banyak penambahbaikan telah dibuat terhadap rang undang-undang baru itu.
"Rang undang-undang ini secara keseluruhan tidak menafikan hak tertuduh untuk membela diri dari segi undang-undang.
"Hak asasi tertuduh juga lebih terjamin memandangkan hanya mahkamah yang boleh mengeluarkan arahan penahanan atau pemasangan peranti pengawasan elektronik terhadap suspek," ujarnya.
Jelasnya, perbezaan lain berbanding ISA adalah ia turut membenarkan waris dimaklumkan tentang penahanan suspek.
Sementara itu, Pengarah Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, langkah memperkenalkan rang undang-undang baru itu tidak harus disalah tafsir kononnya kerajaan tidak serius melakukan transformasi.
Beliau berkata, langkah itu dibuat berikutan kerajaan memerlukan satu instrumen perundangan khusus bagi memastikan keselamatan dan kestabilan negara ini terus terjamin.
"ISA tidak sewajarnya dimansuhkan tanpa digantikan dengan undang-undang lain yang mampu membanteras ancaman keselamatan terhadap negara," katanya.
Tambah beliau, rang undang-undang baru itu dilihat berupaya melaksanakan fungsi itu secara berkesan.
"Kita dapat melihat undang-undang serupa turut dikuatkuasakan di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom.
"Memang ada pihak di negara ini yang tidak mahu undang-undang lain diwujudkan bagi menggantikan ISA. Namun, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan negara," tegasnya.
Pembentangan rang undang-undang berkenaan jelas membuktikan janji-janji kerajaan untuk membawa transformasi dalam segenap aspek bukan sesuatu yang retorik.
Oleh itu, diharap pihak pembangkang yang dilihat sudah mula mengeluarkan komen-komen sinis mempertikaikan rang undang-undang ini menggunakan peluang pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat mulai Isnin ini untuk mengemukakan syor bagi memantapkannya.
Kita yakin, kerajaan BN yang ikhlas untuk melakukan transformasi tidak akan menolak cadangan pihak pembangkang terbabit jika ia baik untuk rakyat dan negara.
/HWA: utusan.com.my | 12/4/12

Tiada ulasan: