![]() |
|
NAJIB TUN RAZAK, Perdana
Menteri
|
KUALA LUMPUR 2 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan
yang menerajui negara pada hari ini adalah kerajaan yang
bertanggungjawab, amanah dan sentiasa menepati janjinya.
Beliau yang kini genap tiga tahun menjadi Perdana Menteri berkata,
kerajaan pimpinannya bukan kerajaan populis semberono yang tidak
bertanggungjawab terutama dalam merangka dasar dan membelanjakan wang
negara.
‘‘Kita telah dan akan sentiasa berterus terang dengan rakyat tentang
apa yang kita mampu dan apa yang kita tidak mampu lakukan, sebaliknya
amat mudah bagi sesetengah pihak untuk menjanjikan bulan, bintang dan
cakerawala tanpa memikirkan kesannya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi
(ETP) 2012 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
barisan Kabinet dengan ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara
langsung di saluran TV1 tepat pukul 8.30 malam.
Najib berkata, perjalanan nasional ke arah cita-cita kebangsaan
menjadi sebuah negara maju hanya tinggal lapan tahun lagi dan negara
memerlukan ‘kenderaan’ yang berprestasi tinggi serta ‘pemandu’ yang
cekap untuk mencapai matlamat berkenaan.
‘‘Oleh itu, janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang
telah terbukti kebolehannya di tengah-tengah jalan, untuk digantikan
dengan pemandu yang diragui dan berbahaya.
‘‘Jangan sesekali kita salah membuat pilihan. Berhati-hatilah dengan
‘tukang karut’ yang melipur lara. Mereka ini hanya pandai berjanji tapi
tidak pernah mengotakannya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan
dan retorik yang dilaungkan,’’ tegas beliau.
Atas dasar itu, Najib meletakkan keyakinan terhadap kebijaksanaan
rakyat untuk menilai dan memilih kerajaan yang mempunyai rekod cemerlang
dalam meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai perjalanan GTP khususnya tujuh
inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), katanya, keutamaan
diberi kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat yang semakin
meningkat melalui perlaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan
memanfaatkan hampir empat juta isi rumah.
‘‘Kerajaan juga telah mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui
strategi lautan biru untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutamanya
di kawasan-kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan dengan kadar
jenayah jalanan berjaya dikurangkan sebanyak 39 peratus manakala jenayah
keseluruhan berkurang 11 peratus.
‘‘Bagi NKRA ketiga iaitu meningkatkan pencapaian pelajar, kerajaan
memperuntukkan perbelanjaan besar setiap tahun untuk pendidikan.
Hasilnya 77 peratus anak-anak kita mendapat peluang mengikuti
pembelajaran peringkat prasekolah berbanding 67 peratus, dua tahun
lalu,’’ katanya.
Untuk NKRA mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar, ujarnya,
hampir 1,000 kilometer jalan luar bandar telah dibina dan sebanyak
27,000 isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik manakala
70,000 lagi memperoleh bekalan air bersih.
Najib berkata, NKRA kelima iaitu mempertingkatkan pengangkutan awam
bandar menyaksikan kerajaan melaksanakan projek Transit Aliran Pantas
(MRT) untuk penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan dan
memperkenalkan Bas Ekspres Transit (BET) yang telah memanfaatkan 370,000
orang pengguna setiap hari.
‘‘NKRA keenam dalam meningkatkan taraf hidup kehidupan isi rumah
berpendapatan rendah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif
seperti program akhiri zaman miskin atau 1Azam yang telah memberi nikmat
kepada lebih 47,000 isi rumah melibatkan perbelanjaan lebih RM500
juta,” katanya.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12

Tiada ulasan:
Catat Ulasan