KUALA LUMPUR 10 April - Kelantangan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bercadang memansuhkannya jika
menjadi Perdana Menteri adalah sandiwara semata-mata.
Ini kerana, menurut pengendali blog RBF Online, hakikatnya
Anwar merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan penubuhan
PTPTN pada 1 Julai 1997.
Menurut blog tersebut, pada 1997, Perdana Menteri ketika itu, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil cuti dua bulan lebih dan
melantik Anwar yang merupakan timbalannya sebagai Pemangku Perdana
Menteri.
Blog berkenaan mendakwa, Anwar dilantik sebagai Pemangku Perdana
Menteri bermula 9 Mei sehingga 26 Julai 1997 dan dalam tempoh tersebut,
beliau mempunyai kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
Blog itu turut mengemukakan bukti 'kekuasaan' Anwar ketika tempoh
tersebut sehingga mampu melantik Ketua Menteri Melaka yang baru menerusi
keratan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 23 Mei 1997.
"Tetapi apa kaitan Anwar dengan penubuhan PTPTN? Berdasarkan laman
web rasmi PTPTN, perbadanan tersebut telah ditubuhkan di bawah Akta 566
yang mula berkuat kuasa 1 Julai 1997 dan beroperasi pada 1 November
tahun sama.
"Jadi, siapa yang mempunyai kuasa untuk meluluskan penubuhan PTPTN
ketika itu? Anwar yang mempunyai kuasa kerana beliau merupakan Pemangku
Perdana Menteri. Anwar bersetuju dan membenarkan PTPTN ditubuhkan pada
masa itu tetapi hari ini beliau kata, jika jadi Perdana Menteri, PTPTN
akan dihapuskan," kata blog itu di http://www.rbfonline.net.
Anwar sebelum ini membuat pengumuman akan memansuhkan PTPTN sekiranya
pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang dan beliau menjadi
Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, blog tersebut mendakwa, ketika itu, Anwar yang juga
merupakan Menteri Kewangan bertanggungjawab memberi kebenaran kepada
PTPTN mengeluarkan pinjaman.
"Dr. Mahathir juga kata Anwar mempunyai kuasa penuh untuk buat apa
sahaja keputusan apabila dilantik sebagai pemangkunya ketika beliau
bercuti.
"Sekiranya ketika itu Anwar berpendapat bahawa PTPTN ini kejam, zalim
dan membebankan, beliau sepatutnya membatalkan penubuhan tabung
pendidikan itu kerana segala kuasa berada di tangannya ketika itu,"
jelas blog itu lagi.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan