KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan negeri Selangor yang berjanji akan
menyelesaikan isu penyambungan kabel elektrik di Kampung Sungai
Terentang, Rawang masih gagal berbuat demikian menyebabkan kemungkinan
berlaku masalah bekalan elektrik di beberapa negeri di Semenanjung
termasuk ibu kota, bulan depan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, janji
tersebut telah dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES)
yang turut dihadirinya pada 22 Disember tahun lalu.
"Malah, beliau (Abdul Khalid) sendiri berjanji akan menemui penduduk
di Kampung Sungai Terentang dua minggu selepas mesyuarat itu, malangnya
sehingga hari ini sudah hampir tiga bulan, beliau tidak pergi pun ke
kawasan itu," katanya di lobi Parlimen hari ini.
Beliau menyifatkan kerajaan negeri Selangor hanya pandai menabur
janji-janji kosong untuk menyelesaikan banyak isu di negeri itu selepas
100 hari pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri.
"Pemasangan kabel ini penting untuk negara, kalau tidak dilaksanakan,
seluruh negara akan menghadapi masalah elektrik dan bergelap. Kalau
masalah lain boleh ditangguh, tetapi masalah ini yang melibatkan
infrastruktur rakyat perlu diselesaikan segera," katanya.
Beliau berkata, isu yang sama pernah dinyatakannya pada tahun lalu
mengenai kemungkinan beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kuala
Lumpur bakal 'bergelap' pada Mei ini jika pemasangan itu di bawah projek
Pengukuhan Kawasan Tengah (CAR) tidak disiapkan secepat mungkin.
Kata beliau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bersetuju terhadap
sebarang alternatif atau laluan lain bagi memastikan penyambungan itu
dilakukan berikutan bantahan daripada penduduk setempat.
"Konsultan dari Australia sudah dilantik, jadi mengapa masih belum
ada penyelesaian berhubung perkara ini," ujar beliau.
Projek CAR yang menelan kos RM300 juta dimulakan sekitar 2005
melibatkan pembinaan menara pencawang elektrik sepanjang 60 kilometer,
namun baki satu kilometer yang melalui kawasan kampung berkenaan
tertangguh sejak empat tahun lalu berikutan bantahan penduduk.
Projek berkenaan bertujuan menyalurkan bekalan elektrik dari
stesen-stesen janakuasa di Perak ke kawasan tengah Semenanjung untuk
mengurangkan beban di stesen bekalan elektrik sedia ada.
Ia merupakan langkah susulan TNB ekoran gangguan bekalan elektrik
serius yang melibatkan kawasan tengah Semenanjung hingga ke selatan pada
13 Januari 2005.
/HWA: utusan.com.my | 3/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan