14 April 2012

Pemimpin pembangkang bersikap biadab persenda raja-raja Melayu?

Oleh Lukman Ismail

RABU lalu, sejarah negara telah tercatat apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang buat kali kedua telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama baginda dipilih sebagai ketua negara itu ialah pada 1970.
Malangnya peristiwa bersejarah itu menjadi bahan senda bagi beberapa pemimpin pembangkang yang turut hadir di balai rong ketika majlis pertabalan tersebut.
Ahli-ahli Parlimen dan ADUN berkenaan mungkin lupa bahawa banyak mata yang memerhati tingkah laku mereka dan banyak telinga yang mendengar kata-kata yang keluar dari mulut mereka.
Sebab itulah ada pepatah orang tua-tua berkata, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’, apatah lagi dalam majlis yang dihadiri oleh ribuan tetamu. Lagi pun bukan semua tingkah laku dan pengucapan kita disukai oleh mereka yang berada di sekeliling kita.
Apabila seorang tetamu mendakwa ada mendengar suara-suara berbau mengejek dan mentertawakan para sultan keluar dari mulut pemimpin berkenaan, ia mengesahkan lagi sikap sebenar mereka yang acap kali berkelakuan biadab dan tidak menghormati orang lain, termasuk raja-raja Melayu.
Salah seorang tetamu yang hadir, Dr. Rahman Kadir yang dipetik blog AIDC (www.anwaraidc.com) telah meluahkan kekecewaannya terhadap para pemimpin pembangkang berkenaan yang mempersenda dan mengejek-ejek raja-raja Melayu yang hadir.
Dalam tulisannya itu, beliau dengan panjang lebar menjelaskan bagaimana biadabnya pemimpin berkenaan yang mentertawakan penampilan dan fizikal beberapa sultan yang tiba di balai rong Istana Negara untuk menghadiri istiadat berkenaan.
“Saya cukup hairan. Mereka semua ini ialah sultan-sultan kita. Pegawai-pegawai kedutaan asing duduk dengan tertib tanpa bersuara dan jika perlu bercakap hanya berbisik sesama mereka. Begitu menghormati protokol dan adat istiadat.
“Tetapi pemimpin pembangkang ini yang merupakan rakyat Malaysia dan bercita-cita besar memimpin negara satu hari nanti, bersikap biadab kepada raja-raja Melayu. Sebagai Ahli Parlimen dan ADUN yang mengaku taat setia kepada raja, sewajarnya perangai seperti ini dihindar,” kata beliau yang turut dikutip oleh beberapa blog lain.
Beberapa hari sebelum itu, seorang pemimpin pembangkang Perak, Chan Ming Kai juga menunjukkan sikap biadab apabila menyerbu naik ke podium Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan menghentak meja Speaker yang sedang mengendalikan persidangan.
Ming Kai yang merupakan ADUN Simpang Pulai dari PKR itu sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila bertakbir Hari Raya sempena Aidilfitri di sebuah rumah milik orang Melayu pada 2009.
Benar kata Datuk Mohd. Khusairi Talib (khusairitgmalim.blogspot.com), apakah para pemimpin sebegini yang kita mahu angkat sebagai pemimpin negara pada masa depan? Sudah tentu tidak.
Bagaimana kita mahu rakyat memelihara institusi beraja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sedangkan pada masa sama para pemimpin yang konon begitu suci dan bersih dalam perjuangan, tidak tahu menjaga adab dan adat istiadat di istana.
Sebab itulah Redzuan Mohd. Junid (rmf7.wordpress.com) mahu agar orang Melayu membuka mata dengan sikap para pemimpin seperti ini.
Katanya: “Inikah pemimpin yang menyatakan akan membela Melayu? Sedangkan raja-raja Melayu mereka perkotak-katikkan. Tahniah “porno rejim” (PR). Kini anda telah menunjukkan siapakah anda sebenarnya.”
Sikap seperti ini, kata beliau, secara jelas dan terang menunjukkan bahawa pembangkang adalah pelaksana salah satu agenda untuk meruntuhkan kepercayaan sistem beraja yang mana telah berlaku di luar negara.
Kebiadaban para pemimpin pembangkang bukan terbatas terhadap raja-raja Melayu malahan mereka juga berani mempersendakan kesucian al-Quran seperti dilakukan oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang.
Lih Kang dalam satu ceramah telah mengucapkan salam sempurna seperti seorang Islam yang turut mempunyai ayat-ayat dengan kalimah Allah ketika menutup ucapan beliau.
Video sebahagian ucapan itu disiarkan dalam blog Medan Tempur Kedah (medantempurkedah.blogspot.com).
“Tengoklah betapa kurang ajarnya si kafir ini mempersenda agama Islam yang disaksikan oleh pemimpin Pas sendiri apabila mereka berkongsi pentas ceramah dengan membiarkan sahaja perbuatan ADUN Teja menghina Islam,” ulas blog itu.
Beberapa isu lain khususnya berkaitan negeri Kedah turut dilaporkan oleh blog Kedahan 69-er (kedahan69ers.com).
Peristiwa-peristiwa di atas adalah antara sebahagian bukti bahawa para pemimpin pembangkang gemar mempersendakan raja-raja Melayu dan agama Islam.
Sedangkan pada masa sama mereka dengan bongkak melaung-laungkan kepada rakyat konon merekalah parti yang memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam jika mereka memerintah negara.
/HWA: utusan.com.my | 13/4/12

Tiada ulasan: