
Liow Tiong Lai (kanan) bersalaman
dengan M. Ammani ketika menziarahi pesakit tulang belakang itu di Felda
Sertik, Bentong, semalam.
BENTONG 10 April - Para peneroka Felda diminta membuat pilihan bijak
dan tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang memainkan isu
Felda Global Ventures Holding (FGVH) bagi memancing undi pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 nanti.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin masyarakat
peneroka hari ini mampu berfikir dan menilai kebaikan yang dilaksanakan
kerajaan menerusi pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurut beliau, penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia dilihat memberi
banyak manfaat kepada peneroka, namun ia diputarbelitkan oleh
pembangkang untuk kepentingan mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihati warga peneroka supaya mendapatkan
maklumat tepat mengenai FGVH daripada para pegawai Felda atau beliau
sendiri supaya memahami isu yang dieksploitasikan oleh pembangkang.
"Saya lihat kekerapan kehadiran pemimpin pembangkang ke daerah ini
bertujuan memutarbelitkan isu dan memesongkan kepercayaan penduduk.
"Namun, saya yakin penduduk daerah ini tidak mudah terpengaruh kerana
sudah diberikan pendedahan menerusi program turun padang pemimpin dari
peringkat akar umbi hingga atasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi peneroka
Felda Sertik, M. Ammani, 61, yang kini menderita sakit tulang belakang
dan baru menjalani pembedahan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, dekat
sini petang semalam.
Pada lawatan itu, Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong turut
menjelaskan Yayasan MCA akan membayar baki hutang pembedahan Ammani yang
masih tertunggak RM20,000.
Tiong Lai berkata, beliau sendiri akan selalu turun padang dengan
lebih kerap bertemu penduduk dan menjelaskan isu semasa supaya maklumat
disampaikan jelas serta tepat.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pakatan pembangkang kini
berbalah untuk bertanding di Parlimen Bentong sehingga menimbulkan
masalah kepada mereka siapa yang sebenarnya akan bertanding di situ
nanti.
Katanya, perkembangan itu menyaksikan kedua-dua parti tersebut gagal
mencapai kesepakatan dan bagi menutup masalah tersebut, mereka
memutarbelitkan pelbagai isu untuk meraih sokongan masyarakat di daerah
ini.
Katanya, dalam meredakan masalah berkenaan, mereka mengetengahkan
kehadiran pemimpin tertinggi pakatan pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar
Ibrahim turun ke Bentong bagi menyampaikan ceramah di sini.
''Sebenarnya, masing-masing dilihat mahu bertanding di kerusi
Parlimen Bentong dan ia memperlihatkan wujud masalah antara parti
pakatan pembangkang itu sendiri," katanya.
"Jadi, untuk menutup masalah itu supaya tidak diketahui umum, mereka
cuba memutarbelitkan isu semata-mata meraih sokongan penduduk dengan
mengetengahkan kehadiran pemimpin tertinggi tersebut ke daerah ini,"
katanya.
/HWA: utusan.com.my | 11/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan