KUALA LUMPUR 13 April - Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak berharap, masyarakat Siam di negara ini akan terus
menguatkan azam dan tekad untuk mempertahankan perpaduan dan keamanan
yang dinikmati.
Beliau berkata, keamanan, kestabilan serta pembangunan yang dinikmati
membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum tidak kira kaum majoriti
atau minoriti.
"Sungguhpun negara ini mempunyai rakyat pelbagai kaum, berbilang
agama dan budaya, kita masih berupaya mengekalkan perpaduan serta hidup
dalam keadaan aman.
"Dengan itu, kita berpeluang menikmati kemakmuran di negara yang
bertuah ini. Semua ini adalah hasil sumbangan semua rakyat Malaysia
tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan," katanya dalam perutusan
sempena sambutan Hari Songkran 2012 di laman Facebook beliau hari ini.
Najib turut menyingkap kembali sejarah kewujudan masyarakat Siam di
Malaysia, iaitu sejak sebelum termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam
pada 1909 yang membawa kepada penyerahan negeri Perlis, Kedah,
Terengganu dan Kelantan oleh kerajaan Siam kepada Inggeris.
Justeru, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan keempat-empat
negeri itu menjadi sebahagian daripada Malaysia, masyarakat Siam masih
kekal di negara ini sehingga kini.
Beliau seterusnya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari
Songkran kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Siam dengan harapan
pada Tahun Baru ini akan memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada
masyarakat tersebut.
"Oleh itu, sempena Hari Songkran ini, saya dan keluarga berharap
semua anggota masyarakat Siam akan terus menguatkan azam dan tekad
mereka untuk terus mempertahankan perpaduan dan keamanan yang kita
nikmati sekarang.
"Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk bekerja bagi masa depan
negara yang lebih gemilang untuk kita warisi kepada generasi akan
datang," katanya.
Hari Songkran atau Tahun Baru bagi masyarakat Siam disambut pada 13 April pada setiap tahun. — BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 14/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan