KUALA LUMPUR 28 April - Ego pembangkang yang selama ini mendabik dada
bahawa mereka tidak perlu atau pernah 'memberikan wang' untuk menarik
kehadiran penyokong dalam satu-satu aktiviti atau perhimpunan yang
dianjurkan, memakan diri.
Bagi mereka, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang perlu
'menyuap' duit atau menaja sesuatu bagi menarik kehadiran khalayak
sedangkan realitinya pada perhimpunan haram yang disokong pembangkang di
ibu negara hari ini menceritakan sebaliknya.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan peserta
perhimpunan haram, yang kononnya untuk menuntut sistem pilihan raya yang
bersih dan adil mendapati sebahagian daripada mereka sebenarnya ditaja
oleh pihak tertentu, begitu juga kerajaan negeri.
Perkara itu didedahkan oleh beberapa peserta daripada Kelantan yang
mana kedatangan mereka ditaja sepenuhnya meliputi pengangkutan,
penginapan dan keperluan lain seperti belanja makan.
Menurut Wan Ismail Wan Mad, 34, beliau telah tiba di Kuala Lumpur
sejak tiga hari lepas dari Tumpat dengan menaiki bas yang ditaja Pas
bahagian itu.
Katanya selain disediakan hotel, beliau dan peserta lain turut diberi "duit poket" sebanyak RM150 setiap seorang.
"Semasa perhimpunan tahun lepas (9 Julai 2011) saya turun berdemo
guna duit sendiri, sekarang diberi duit poket serta disediakan bas dan
hotel.
"Jadi lagi bersemangatlah kami turun ke mari (Dataran Merdeka)," katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.
Seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Azli, 25, berkata
peluang untuk turun berhimpun dengan segala perbelanjaan, termasuk duit
poket disediakan kerajaan Pas Kelantan, menjadi dorongan utama kepadanya
untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
"Kami turun dua bas dari Pasir Mas untuk demo kali ini, kami tinggal
di hotel berdekatan bagi memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka,"
katanya.
Pasangan suami isteri berusia sekitar 50-an, dari Kedah pula berkata
mereka didatangkan dengan 20 buah bas dengan dikenakan bayaran serendah
RM10 seorang, berbanding harga tambang biasa kira-kira RM100 pergi dan
balik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Beliau yang hadir bersama suaminya sejak semalam dan ditempatkan di
sebuah hotel berdekatan Dataran Merdeka berkata tambang semurah itu
memberi lebih dorongan untuk mereka turun ke ibu negara.
Sementara itu, Azizah, 23, dari Permatang Pauh pula berkata beliau
datang bersama dua saudara maranya bagi memberi sokongan kepada
perhimpunan itu.
Katanya, mereka yang didatangkan dengan sebuah bas turut diberikan
RM20 seorang sebagai wang belanja, didakwa diterima daripada seseorang
bernama Mansor.
"Yang menghairankan saya ialah kenapa hanya sebuah bas sahaja dari Permatang Pauh," katanya. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 28/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan