PRU-13: Selamatkan Islam, Melayu, raja

HASSAN Ali menyampaikan ceramah
bertajuk Memartabatkan Islam, Raja dan Bangsa Melayu di Sungai Acheh,
Nibong Tebal, Pulau Pinang, malam kelmarin.
NIBONG TEBAL 7 April - Pengundi, khususnya di Pulau Pinang perlu
menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai peluang untuk
menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan Islam, Melayu dan
institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak- pihak tidak
bertanggungjawab termasuk pembangkang.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, undi
mereka akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh
dipertanggungjawabkan mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut
yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sebagai orang Islam mereka wajib mempertahankan
ketiga-tiga perkara itu dan memilih pemimpin yang benar-benar dapat
menyelamatkannya.
"Saya mahu untuk pilihan raya umum nanti para pengundi terutama orang
Pulau Pinang, mari kita selamatkan ketiga-tiga perkara ini. Saya minta
tolong sangat-sangat. Perubahan ini mesti dilakukan bila tiba PRU-13,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di depan kira-kira 5,000 orang
yang hadir pada program Ceramah Perdana anjuran Gerakan Belia 4B
Cawangan Nibong Tebal di Sungai Acheh di sini, malam tadi.
Hasan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,
Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor memberitahu,
apa yang perlu mereka lakukan mulai sekarang adalah mempraktikkan teori
'ganda 10'.
Berdasarkan kaedah itu jelasnya, mereka perlu berkempen kepada
sekurang-kurangnya 10 orang termasuk ahli keluarga, rakan dan jiran
supaya tidak menyokong DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang
kini dianggotai majoriti 'parasit perosak akidah'.
Katanya, antara perancangan pembangkang jika berjaya menguasai
Putrajaya adalah mengubah sistem demokrasi negara kepada republik.
"Apabila Malaysia jadi republik, maka robohlah Artikel 153
Perlembagaan yang melindungi hak keistimewaan Islam, orang Melayu dan
institusi raja," ujarnya.
/HWA: utusan.com.my | 8/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan