PENDEDAHAN surat persetujuan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad
Nizar Jamaluddin berhubung isu kilang bijih besi Vale di Teluk Rubiah
benar-benar membuat barisan pimpinan pembangkang tersentak.
Walaupun bermati-matian cuba mempertahankan Mohammad Nizar dalam
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam, usaha itu tampak
sia-sia apabila satu persatu tembelang Ketua Pembangkang itu dipecahkan.
Lebih mengejutkan, Utusan Malaysia difahamkan, ada kalangan
wakil rakyat pembangkang sendiri tidak mengetahui mengenai kewujudan
surat berkenaan.
Pada satu ketika, pembangkang dilihat 'menggelabah' apabila cuba lari
dari isu pokok dengan melontarkan perkara-perkara yang tidak relevan
termasuk membangkitkan perbezaan antara 'bersetuju' dan 'meluluskan'.
''Ini tidak sepatutnya timbul kerana memang projek diluluskan oleh
kerajaan Barisan Nasional (BN). Soalnya, Mohammad Nizar sebelum ini
beriya-iya membantah projek ini, sekarang sudah terbukti dia sendiri
pernah bersetuju, ini satu hipokrasi," kata seorang penyokong kerajaan
ketika ditemui.
Realitinya, pembangkang sudah terperangkap. Tidak hairanlah, memasuki
hari kedua persidangan, tiada satu pun pemimpin pembangkang yang tampil
membangkitkan perkara itu - sama ada dalam sesi soal jawab mahu pun
perbahasan.
Usaha Mohammad Nizar untuk mengalihkan isu lokasi projek itu yang
kononnya dicadangkan di Tanjung Hantu juga sudah tidak relevan apabila
surat yang ditandatanganinya itu sudah mengambil kira pertimbangan
lokasi yang dicadangkan Vale sendiri iaitu di Teluk Rubiah.
Ironinya, ketika Mohammad Nizar masih mahu menegakkan benang basah
dalam isu berkenaan, Koo Ham pula dilihat cuba membaiki 'kerosakan' yang
disebabkan keterlanjuran ADUN Pasir Panjang itu.
Mohammad Nizar dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Koo Ham
semalam dilihat masih berdolak-dalik dengan menyatakan surat tersebut
memang sahih tetapi ia bukan bukti bahawa beliau pernah meluluskan
projek berkenaan.
Diasak dengan pelbagai pertanyaan pemberita, Koo Ham akhirnya membuat
konklusi berikut: ''Kita hormati keputusan BN meluluskan projek ini,
tetapi kita harap pelaksanaannya dipastikan tidak merosakkan alam
sekitar, itu sahaja."
Timbul persoalan, jika keputusan BN meluluskan projek itu wajar
dihormati, kenapa pembangkang sejak awal lagi menggerakkan usaha
membantah projek ini sehingga membawa kepada penganjuran demonstrasi di
Teluk Rubiah baru-baru ini?
Bercakap mengenai kehadirannya bersama Mohammad Nizar dalam
demonstrasi yang hanya dihadiri kira-kira 100 orang itu, Koo Ham
berkata: ''Kita tidak bantah (projek Vale), kita datang sebab rakyat
panggil kita, sebagai wakil rakyat kita datanglah".
Hakikatnya, perkembangan terbaru ini bakal mematikan langkah
pembangkang untuk menjadikan projek Vale sebagai senjata politik PRU-13
di Lumut - kawasan Parlimen yang diketahui sangat diidam-idamkan
pembangkang.
/HWA: utusan.com.my | 7/4/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan