KUALA LUMPUR 26 Mei - Pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu
bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri merupakan amaran awal
kepada orang Melayu tentang hak dan kepentingan mereka di negara ini
bakal tergadai pada masa hadapan.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata,
kenyataan itu juga boleh dilihat sebagai petanda sudah ada strategi
pihak tertentu yang mahu melenyapkan fungsi dan kedudukan raja-raja
Melayu.
“Sekarang DAP mahu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, lambat-laun
kedudukan raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara juga akan
dipadamkan dalam Perlembagaan.
“Kenyataan Karpal itu juga merupakan provokasi DAP dalam meraih
sokongan pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama
lagi," katanya dalam entri terbaru laman blog umnocheras.blogspot.com.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Karpal bahawa
beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu
menyandang jawatan Perdana Menteri selagi beliau hidup.
Tegas Syed Ali, keadaan itu akan berlaku apabila orang Melayu
berpecah belah, umat Islam dilaga-lagakan oleh Pas yang saban hari
menjaja kepalsuan perjuangan Islam manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR)
pula berlegar-legar mencari peluang merusuh di jalanan.
Beliau juga berkata, impian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri juga awal-awal lagi sudah ditolak
oleh sekutu rapatnya DAP dan ia membuktikan Ketua Pembangkang itu
sememangnya diperakui tidak layak.
/hwa: utusan.com.my | 27/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan