ISU menggerakkan satu 'perhimpunan' terancang oleh pakatan
pembangkang Sabtu lepas hanyalah sekadar 'pancing' untuk memenangi hati
rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ia sebenarnya telah 'disusuli' kononnya dengan janji-janji yang mahu
'dikotakan' yang sebenarnya adalah janji-janji tambahan daripada apa
yang sudah mereka sebut dalam Buku Jingga - melibatkan janji politik, janji ekonomi dan janji pentadbiran.
Pembangkang menguar-uarkannya kepada janji empat kerangka asas iaitu
untuk mewujudkan demokrasi yang telus dan tulen, memacu ekonomi
berprestasi tinggi, keadilan sosial dan perhubungan persekutuan dan
negeri.
Jika direnung, diteliti dan dikaji secara berfakta dengan mata hati,
keempat-empat kerangka asas ini tidak pun berlaku walaupun setelah
hampir empat tahun pembangkang memerintah empat negeri.
Misalnya, kita dapat lihat bagaimana 'demokrasi tulen' yang
dimaksudkan itu tidak terserlah dalam pemilihan parti mereka sendiri.
Pemilihan PKR tempoh hari bergolak. Bayangkan bilangan kertas undi lebih
daripada perwakilan yang mengundi.
Kejujuran DAP, Pas dan PKR tidak terserlah juga dalam menerima
teguran-teguran daripada badan-badan bukan kerajaan. Mereka menyekat
kehadiran akhbar-akhbar tertentu daripada menghadiri Sidang Dewan
Undangan Negeri. Mereka tidak memberikan kebebasan bersuara dalam TV
Selangor, dalam liputan perbahasan bekas Exco kerajaan negeri itu, Datuk
Dr. Hasan Ali yang tidak ada ruang buat penjelasan, sidang dewan
tertutup, tidak mengimbangi laporan dalam Harakah dan Suara Keadilan yang mana semuanya berat sebelah.
Sebab itu, asas-asas kerangka tersebut khususnya demokrasi tulen yang
dicanangkan pakatan pembangkang sebenarnya jauh daripada pelaksanaan.
Demikian juga soal memacukan ekonomi berprestasi tinggi yang mana hal
itu merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang hanya
sekadar disebut, tetapi tidak pernah diperincikan dalam mana-mana ucapan
sama ada bertulis atau lisan. Hanya yang ditekankan lebih kepada
pengagihan atau pun disebut sebagai keadilan sosial.
Pengagihan yang tidak berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi
berprestasi tinggi ini menunjukkan bahawa menerusi angka-angka, ia
hanyalah bersifat sesuatu yang tidak praktikal dan sukar dilaksanakan.
Begitu juga soal hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan
negeri yang mana rakyat melihat bagaimana setiap satunya tidak
dilaksanakan. Dalam konteks Selangor dan Persekutuan, banyak keputusan
Persekutuan yang dirombak dan dirungkai dengan tidak ada pendekatan
mencari jalan keluar dalam isu air, pelupusan sampah serta pembersihan
sampah selain isu pelaburan.
Isu urusan pentadbiran antara negeri-negeri yang ditadbir pembangkang
juga nampak semakin kusut daripada apa yang sepatutnya digerakkan.
Sebab itu rakyat melihat banyak ucapan yang dibuat adalah bersifat
populis - satu godaan pilihan raya.
Ironisnya, banyak janji yang disebut dan ditambah oleh kepimpinan
pembangkang, baik daripada Pas, DAP dan PKR dari semasa ke semasa,
antaranya janji-janji PTPTN dan pendidikan percuma yang tidak ada dalam Buku Jingga. Ia adalah perbelanjaan tambahan daripada prinsip-prinsip Buku Jingga yang mana akan menambah cepatkan lagi kemerosotan ekonomi negara ke arah kebankrapan.
Akibat PRU-13 yang cukup dekat, maka banyak longgokan janji yang
tidak munasabah diberikan. Dan pembangkang berasaskan kepada andaian.
Antaranya, andaian tentang kerapuhan sistem kerajaan sekarang, andaian
tentang keadaan ekonomi yang krisis, andaian negara ini kucar-kacir
iaitu tidak ada perpaduan rakyat.
Ini semua adalah andaian institusi negara yang kononnya telah rosak
dengan rakyatnya menderita dan hari-hari rakyatnya bergaduh. Malangnya
andaian ciptaan ini tidak disertai dengan fakta. Atau pun andaian bahawa
sektor pendidikan bakal menghadapi krisis yang maha dahsyat.
Andaian-andaian yang pembangkang berikan sebenarnya adalah andaian ciptaan mereka sendiri.
Kenyataan yang sebenarnya adalah mereka sendiri tidak melaksanakan
manifesto pilihan raya 2008 dalam skop yang lebih kecil daripada sebuah
negara ke negeri. Di Selangor kalau dilihat, wujud isu pasir, cukai
pintu yang naik, air tercemar dan penjualan aset kerajaan negeri yang
tidak terkawal.
Di Pulau Pinang, masih banyak isu tol Jambatan Pulau Pinang dan
Sungai Nyior yang tidak ditunaikan. Berlaku kenaikan kadar air 25
peratus dan belum dihapuskan pula caj letak kereta untuk hari Sabtu dan
Ahad.
Di kedah, belum lagi dipotong elaun Menteri Besarnya, belum berlaku
lagi zon industri petroleum dan belum dihapuskan lesen arak di negeri
itu. Maka, tak usah cakaplah soal demokrasi yang telus, di tempat mereka
sendiri tidak lagi dilaksanakan.
Tidak juga terdapat di mana pembangkang berbicara soal pertumbuhan
ekonomi yang tinggi tetapi tidak juga dijelaskan tentang peranan sektor
swasta. Dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) contohnya, Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun menjelaskan bahawa rakyat
perlu mencipta kekayaan negara melalui peranan sektor swasta berikutan
kerajaan tidak boleh membuat kekayaan secara langsung tanpa penglibatan
sektor tersebut.
Ternyata, sektor swasta boleh membina kekayaan tetapi itu tidak
diperjelaskan langsung dalam mana-mana ucapan dan cadangan pemimpin
pembangkang.
Dan kalau diamati tentang andaian pembangkang berkaitan ekonomi.
Mereka menyatakan bahawa kononnya berlaku rasuah dan ketirisan sebanyak
RM28 bilion. Ya, memang isu negara rasuah itu popular dan 'kalau RM28
bilion itu kita boleh selamatkan, maka kita boleh berikan kepada
rakyat'.
Namun, hakikatnya RM28 bilion itu adalah perangkaan Bank Dunia dalam
soal ketirisan atau rasuah. Tetapi tidak semestinya berlaku rasuah. Ia
ketirisan yang berasaskan kepada pelbagai faktor dan bukan satu faktor.
Ketirisan pertama mungkin disebabkan pengaliran wang keluar akibat
daripada pengaliran wang keluar kerana keadaan mata wang jatuh, kerana
keadaan turun naik nilai mata wang. Orang bawa duit keluar atau memang
betul ada rasuah sebahagian daripadanya atau mungkin faktor-faktor lain
kerana tidak ada perincian tentang RM28 bilion ini.
Dan RM28 bilion itu bukan perangkaan setiap tahun. Ia one-off dan mengikut keadaan ekonomi. Bagaimana keadaan one-off RM28 bilion itu jika benar, ia hendak dijadikan pengukuran untuk menampung belanja sepanjang zaman. One-off RM28
bilion kononnya nak menampung untuk perbelanjaan dan kebajikan rakyat
sepanjang zaman, maka 'tentulah ia sedap disebut kepada rakyat'.
Kerana itu, 'benda-benda semacam ini' yang diuar-uarkan oleh
pembangkang memerlukan penjelasan secara fakta. Banyak sebenarnya
perbelanjaan tambahan yang dicanangkan pembangkang di luar janji Buku Jingga.
Dahulu, mereka berjanji hendak bagi imbuhan kepada guru sebanyak RM500
sebulan seorang. Dengan itu sahaja pun, RM500 sebulan x 12, 6,000 x
400,000 > RM2.4 bilion. Apakah dalam perkhidmatan awam, cuma hanya
ada cikgu?
Relevankah perhimpunan yang ditaja pembangkang Sabtu lepas. Fikir-fikirkanlah.
/HWA: utusan.com.my | 3/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan