13 Mei 2012

Hudud: Tentangan keras DAP memang dijangka

KUALA LUMPUR 11 Mei - Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengulangi hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di negara ini memang dijangka mendapat tentangan keras daripada DAP sebagai parti komponen dalam pakatan pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali berasa pesimistik terhadap usaha tersebut di dalam Pas disebabkan kehadiran majoriti golongan parasit yang menguasai barisan kepimpinan tertinggi parti ketika ini.
"Saya meramalkan di bawah gagasan pakatan pembangkang jalan ke arah itu semakin sempit dan semakin gelap.
"Telahan saya ini semakin hampir ke realiti lantaran sikap Pengerusi DAP, Karpal Singh serta kata-kata yang pernah diucapkan oleh beliau sendiri bahawa Pas perlu melangkah mayat beliau terlebih dahulu sebelum dapat melaksanakan hudud," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Katanya, alasan Abdul Hadi bahawa hudud akan dilaksanakan setelah fenomena pengangguran dan kemiskinan dapat ditangani tidak sedikit pun mengubah pendirian DAP.
Malah katanya, Pengerusi DAP itu dengan keras dan tegas mengulangi kenyataannya bahawa atas apa alasan pun DAP sememangnya tidak dapat menerima syariat Islam dan pelaksanaan hudud.
"Seingat saya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya tahun lepas, juga menyatakan perkara yang sama dengan apa yang ditegaskan oleh Karpal Singh. Pas tidak boleh sama sekali membuat kenyataan mengenai hudud apa lagi melaksanakannya sebelum mendapat restu daripada dua komponen parti yang lain khususnya DAP," katanya.
Beliau turut mempersoalkan hak DAP untuk menyelar dan menidakkan kenyataan umum yang dibuat mengenai pelaksanaan hudud yang seperti diketahui pada dasarnya melibatkan penganut Islam sahaja.
"Saya menganggap tindakan pimpinan utama DAP begitu keterlaluan hingga tidak langsung mengambil kira sensitiviti umat Islam khasnya ahli dan penyokong Pas termasuk mereka di akar umbi yang ingin melihat syariat Islam dan hudud dilaksanakan," katanya.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12

Tiada ulasan: