KUALA LUMPUR 20 Mei - Pas perlu ikhlas tanpa meletakkan sebarang
syarat jika mahu muzakarah dengan UMNO direalisasikan demi masa depan
umat Islam negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia
termasuk mengetepikan soal membentuk kerajaan campuran, sebaliknya,
memberi tumpuan kepada kerjasama dalam isu-isu tertentu.
"Muzakarah ini perkara baik. Apa salahnya UMNO dan Pas berbincang
dari hati ke hati dengan penuh keikhlasan untuk mencari persamaan demi
masa depan ummah.
"Saya yakin di pihak UMNO termasuk pemimpin dan ahli amat
mengalu-alukan perkara ini tetapi apa yang kita bimbang rakan kita dalam
Pas, sekarang ini pun nampak ada perbezaan dalam kalangan mereka dan
tidak konsisten dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
ucaptama pada majlis penerangan mengenai dasar kerajaan dan isu semasa
kepada pesara guru Parlimen Bagan Datoh, di sini hari ini.
Mohd. Puad mengulas pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat yang menyifatkan sekarang adalah waktu paling sesuai bagi
menjayakan muzakarah antara parti itu dan UMNO.
Namun Menteri Besar Kelantan itu turut meletakkan syarat supaya UMNO
menukar dasar kebangsaannya dan perlu menerima Pas serta pembangkang
jika kedua-dua parti itu menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu dan
Islam.
Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, kerajaan
amat terbuka menerima setiap pandangan dan teguran dalam muzakarah itu
untuk manfaat kedua-dua parti.
Katanya, ia memandangkan UMNO merupakan parti yang inklusif dan
menekankan mengenai pendekatan wasatiyah serta tidak mengamalkan fahaman
politik sempit.
"Saya yakin ada yang boleh kita perbaiki dan UMNO amat terbuka serta
sedia menerima apa yang boleh dilakukan antara kedua-dua parti.
Contohnya apabila timbul isu penambahbaikan sistem pilihan raya, kita
setuju mewujudkan sebuah jawatankuasa," katanya.
Ditanya mengenai syarat Nik Abdul Aziz, Mohd. Puad beranggapan
menteri besar itu mungkin terperangkap dengan tekanan orang dalam Pas
sendiri yang tidak bersetuju dengan muzakarah tersebut.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan