KUALA LUMPUR 21 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat mula memperlihat belang sebenar yang beliau tidak
pernah ikhlas mahu bermuzakarah dengan UMNO apabila bertegas tidak
setuju dengan perpaduan antara dua parti terbesar Melayu itu.
Pendirian itu dibuat hanya dua hari selepas beliau meletakkan syarat
kepada UMNO jika mahu bermuzakarah, walaupun isu berkenaan dimulakan
sendiri oleh Mursyidul Am Pas tersebut baru-baru ini.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz juga dilihat berdolak-dalik apabila
berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bermuzakarah tetapi topik
perbincangan adalah kenapa UMNO lawan Pas dan bukan isu perpaduan.
"Saya tidak pernah setuju (pasal perpaduan) tetapi tentang muzakarah,
saya tidak melihat sebarang masalah. Saya cadangkan UMNO dan Pas
diwakili presiden masing-masing. Perbincangannya ialah tentang Pas lawan
UMNO dan kenapa UMNO lawan Pas," katanya di laman sosial Facebooknya,
hari ini.
Isu muzakarah kembali timbul apabila Nik Abdul Aziz menyatakan
kesediaan untuk berbuat demikian tetapi selepas hasrat itu disambut baik
oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mula
meletakkan syarat iaitu perlu menerima rakan pakatan Pas dalam
pembangkang dan menukar dasar kebangsaan kepada Islam terlebih dahulu.
Tindakan Nik Abdul Aziz itu kemudiannya mengundang kritikan bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan syarat
tersebut hanya alasan Pas untuk tidak bermuzakarah dengan UMNO.
Dr. Mahathir turut menyindir Pas kerana sanggup meletakkan syarat
untuk berbincang dengan UMNO walaupun melibatkan soal Melayu tetapi pada
masa sama parti itu tidak pula meletak syarat ketika bersetuju
bekerjasama dengan DAP.
Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz dalam nada
sindiran menyatakan sebagai orang tua, Dr. Mahathir sepatutnya tahu
bahawa setiap muzakarah perlu ada syarat.
"Tun Mahathir orang tua, dia tahu bila ada pertemuan memang ada
syarat. Kita nak kahwin dua orang pun ada syarat, inikan muzakarah.
"Kita nak buka syarikat ada syarat, mana boleh muzakarah tak ada
syarat," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis
Menandatangani Perjanjian Pembinaan Kilang Sawit Tapis Antara Anak
Syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ladang
Sungai Terah Sdn. Bhd. dengan Modipalm Engineering Sdn. Bhd..
Nik Abdul Aziz turut menolak sindiran Dr. Mahathir mengenai kerjasama
Pas-DAP, dengan menyatakan Pas turut meletakkan syarat untuk
bekerjasama dengan parti itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Ditanya tindakan banyak pihak yang mempersoalkan keikhlasan Pas dan
kemungkinan muzakarah itu hanya gimik politik, Menteri Besar Kelantan
itu berkata: "Bila sebut Islam, dia mesti mempunyai unsur ikhlas, tidak
ada Islam yang tidak ada ikhlas, yang tidak ikhlas itu munafik.
Beliau turut menyifatkan andaian mengatakan ada pemimpin Pas menolak
muzakarah tersebut sebagai mengarut sambil menambah, pihak yang tidak
mahu bermuzakarah adalah orang bukan Pas.
/hwa: utusan.com.my | 22/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan