KUANTAN 11 Mei - Pas dan DAP tidak akan boleh bekerjasama antara satu
sama lain kerana umum telah mengetahui dua parti politik itu berada
dalam satu pakatan songsang dan luar tabii.
Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin
berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin kedua-dua parti itu sering
kali berlaku terutama dalam hal yang melibatkan isu agama Islam.
"Sudah-sudahlah Pas bersama DAP dan pakatan pembangkang. Berpecahlah
kerana mereka tidak akan boleh untuk bekerjasama antara satu sama lain.
"Lebih baik Pas bergerak sendiri seperti sewaktu ketika dahulu,"
katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pendengaran awam mengenai
projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di sini hari ini.
Akhbar kelmarin melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
sebagai berkata, jika pakatan pembangkang memerintah negara, hukum hudud
hanya akan dilaksanakan apabila masalah pengangguran dan kemiskinan
diselesaikan, serta penetapan gaji minimum dibuat.
Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam, membidas Abdul Hadi dengan
mengatakan Pas tidak berhak bercakap bagi pihak pakatan pembangkang
bahawa mereka akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.
Karpal juga berkata, Presiden Pas itu memang selalu berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.
"Adalah dikesali, Abdul Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang
kemudian ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan
Persekutuan akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi
dengan Addin, walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam
sebagai agama rasmi.
"Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan sedemikian. Saya
berharap Abdul Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan
menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih
daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu," kata
Karpal dalam satu kenyataan.
Pengerusi DAP itu juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa
hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan