12 Mei 2012

Perjuangan orang UMNO dahulu harus dicontohi

DULU setiap kali tanggal 11 Mei 1946 hadir (tarikh UMNO ditubuhkan) walaupun tidak ada sambutan besar-besaran dibuat, namun kegembiraan di dalam hati kalangan pejuang parti keramat itu tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
Saat itu mengimbas semula perjalanan hidup UMNO yang sarat dengan pelbagai kisah, suka duka, cabaran dan pengalaman luar biasa hasil perjuangan hingga menjadikan parti itu ampuh serta unggul.
Tidak dinafikan perjuangan pemimpin dan ahli-ahli telah membuktikan UMNO telah berjasa menyatupadukan bangsa, menyalakan semangat nasionalisme Melayu.
Selain itu ia telah mengimarahkan Islam, mengembalikan kedaulatan raja-raja Melayu, menjalin persefahaman dan kerjasama antara kaum, berunding dan akhirnya mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan mengembangkan ia menjadi Persekutuan Malaysia.
Tidak ada parti lain yang mampu menandingi UMNO yang memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu hingga membawa kepada penentangan Malayan Union dan menjadi titik tolak membawa kepada negara mencapai kemerdekaan.
Inilah hakikat yang harus dilihat oleh generasi sekarang betapa UMNO adalah parti yang harus ditunjangi bagi memastikan hak keistimewaan orang Melayu terus diperjuangkan dan tidak disisihkan.
Kini usia UMNO sudah mencapai usia 66 tahun, cerita kegemilangan UMNO sejak awal penubuhannya semakin dilupakan dan tidak lagi menjadi pegangan segelintir pemimpin dan ahli parti ketika ini.
Bagi orang lama UMNO dari Melaka, Tan Sri Aziz Tapa, 89, menyifatkan sambutan ulang tahun parti itu kali ini sekadar menghadirkan perasaan sedih yang tidak terhingga buat dirinya.
Beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan pilu melihat keadaan UMNO sekarang tidak seperti dulu yang mengutamakan perjuangan demi kepentingan bangsa dan tanah air.
Baginya, perjuangan ahli UMNO dulu di awal penubuhannya jauh berbeza dengan perjuangan sekarang kerana pemimpin dan ahli terdahulu mempunyai semangat nasionalisme yang amat tinggi sehingga sanggup berkorban apa sahaja tanpa mengharapkan sebarang ganjaran atau kedudukan.
Perjuangan pemimpin dan ahli UMNO kini dilihat tidak lagi berjuang untuk membela nasib orang Melayu malah semakin melupakan matlamat asal penubuhan parti itu pada 1946.
''Dulu orang yang memperjuangkan UMNO tidak macam sekarang asyik hendak berebut kuasa. Mereka ini berjuang untuk kepentingan diri dan bukannya untuk parti.
''Begitu juga dengan orang Melayu sekarang tidak ada langsung semangat kebangsaan selaras dengan nama UMNO iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
''Dulu orang Melayu meletakkan UMNO berada nombor satu dalam hidup mereka. Apa sahaja yang penting ialah perjuangan parti tetapi saya lihat keadaan itu tidak lagi wujud dan ia membuatkan saya sedih melihat nasib UMNO sekarang," katanya.
Aziz adalah pejuang kemerdekaan tanah air terutama penglibatan kerasnya dalam menentang Malayan Union. Beliau menyertai UMNO pada 1946. Beliau pernah memegang jawatan-jawatan penting politik antaranya Senator, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bendahari UMNO Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nyalas dan Rim pada tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an.
"Dulu setiap kali sambutan UMNO dibuat, itu tidak boleh cakap... kerana perasaan gembira tidak dapat diungkapkan. Tetapi apabila melihatkan keadaan UMNO sekarang ia amat menyedihkan," katanya.
Beliau mengakui dirinya tidak mampu mengekang air mata melihat UMNO terumbang-ambing apa lagi dengan orang Melayu berpecah kepada beberapa puak dengan menyertai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Katanya, seluruh ahli UMNO perlu bersatu semula dan mengetepikan soal wang ringgit, pangkat dan kuasa untuk mengukuhkan semula parti terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Beliau melihat kehilangan empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak kepada pembangkang pada pilihan raya lalu sepatutnya menjadi pengajaran yang berguna kepada seluruh ahli dan orang Melayu.
''Kebimbangan saya apabila UMNO rebah. Jika rebah habislah riwayat orang Melayu di bumi sendiri... untuk bangkit semula bukanlah mudah," kata tokoh UMNO itu lagi.
Dalam pada itu Aziz menyanjung tinggi usaha Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muyhyiddin Yassin yang bertungkus-lumus untuk menyatupadukan semula orang Melayu.
Justeru, sempena sambutan ulang tahun ke-66 UMNO, Aziz menyeru orang Melayu untuk bersatu dalam UMNO dan memastikan BN memenangi pilihan raya umum nanti.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12

Tiada ulasan: