12 Mei 2012

Ramuan UMNO untuk semua kaum

AHLI UMNO mengibarkan bendera Barisan Nasional di Kenduri Rakyat 1Malaysia di perkarangan Sekolah Agama Rakyat Simpang Tiga, Sungai Acheh, Nibong Tebal, baru-baru ini. - Gambar hiasan
*****


PARTI UMNO/Barisan Nasional (BN) mengamalkan perkongsian kuasa melebihi daripada konsep berparti itu sendiri. Perkongsian kuasa antara parti berbilang kaum yang diterjemahkan sebagai Perikatan dan BN dalam sistem politik Malaysia amat unik. Ia bermula daripada penubuhan UMNO pada 1946.
Sejarah perjuangan UMNO bermula apabila Inggeris berhasrat menjajah secara total Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union. Sejak itu, UMNO dan BN terus memerintah negara hinggalah ke hari ini.
Sejak 1999, pihak pembangkang banyak meniru cara dan konsep UMNO dan BN kerana mendapati BN berjaya melayari bahtera parti itu sehingga banyak menghasilkan kejayaan dalam semua bidang.
Konsep kerjasama Perikatan/BN dilihat mudah, berdasarkan kedudukan kaum, pragmatik dan saling memerlukan. Manakala kerjasama antara parti pembangkang lebih tertumpu kepada ideologi politik masing-masing. Sebab itu sering berlaku konflik ideologi di mana rakyat juga tidak faham prinsip parti itu dan sering berubah pula.
Oleh sebab negara ini terhasil daripada proses penjajahan yang lama, maka perjuangan UMNO bukan sahaja untuk kaum bumiputera tetapi juga mengambil kira kepentingan kaum bukan Melayu melalui konsep BN yang tentunya diasaskan kepada kedudukan kemajmukan masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum. Mahu tidak mahu itulah realiti kehidupan masyarakat negara ini.
Setakat ini, dikatakan hanya parti UMNO yang mewakili orang Melayu, MCA dan MIC mewakili kaum Cina dan India yang serasi membawa sistem politik pelbagai parti dan kaum. Konsep itu telah berjaya memenangi hati rakyat hinggalah pada PRU-12 lalu, apabila BN diuji lagi dengan mengalami kejutan yang mana parti berkonsepkan pelbagai kaum itu tercabar. Ia mengalami kemerosotan sokongan daripada pengundi bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu.
Lima buah negeri diperintah oleh pembangkang yang juga berkonsepkan parti berbilang kaum yang dikatakan sama seperti konsep BN. Sebelum 1999 parti-parti pembangkang bergerak sendiri dengan perjuangan kemelayuan/keislamannya (Pas), perjuangan kecinaannya (DAP) dan akhir-akhir ini PKR dengan sosialisme.
Bukanlah menjadi rahsia sebenarnya kejayaan UMNO dan BN sepanjang 66 tahun lalu. Kejayaan besar Perikatan dan BN ialah menjalin hubungan antara kaum yang kukuh sehingga wujudnya kontrak sosial, yang antara lain UMNO dan orang Melayu mengakui kehadiran kaum bukan Melayu, memberi kerakyatan kepada hampir satu juta bukan Melayu pada masa kemerdekaan dahulu. Dengan pemberian itu ramai daripada mereka bergerak aktif dalam politik pemerintah dan tidak kurang juga pembangkang hari ini.
Pembentukan Malaysia juga diperjuangkan oleh UMNO dan Perikatan/BN dan seterusnya memasukkan parti-parti komponen dari Sarawak dan Sabah. Kekuatan Perikatan/BN itu juga dapat mengurangkan pengaruh komunis, dan sebahagian orang Cina kembali ke pangkuan masyarakat dan mengakui akan ketuanan Melayu, bahasa kebangsaan, raja-raja Melayu dan Perlembagaan Malaysia. Kekuatan Perikatan/BN juga dapat menghadapi Konfrontasi Indonesia pada 1963 hingga 1966 dahulu.
Semua kaum ada memegang jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik, senator dan ahli majlis perbandaran, daerah dan sebagainya. Dengan kekuatan dan kestabilan politik BN juga DEB diwujudkan pada 1971 dan kini masyarakat bumiputera umumnya mengalami perubahan besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Kadar kemiskinan dari 79 peratus dapat dikurangkan sehingga kurang dari dua peratus hari ini. Cuma yang digelar sesetengah pihak ialah komponen-komponen parti dalam BN menjadi boneka UMNO. Gelaran yang sama diberikan kepada Pas kini yang dikatakan sebagai boneka DAP! Sebenarnya UMNO tidak begitu.
UMNO adalah sebagai tonggak dalam BN yang mewakili penduduk majoriti Melayu/bumiputera di negara ini. Berbanding konsep kerjasama pembangkang, ia nampak stabil di kalangan mereka, tetapi tujuan utama tidak seperti BN yang mengambil kira kepentingan setiap kaum.
Dalam Pakatan Pembangkang, tujuan utama kerjasama mereka untuk menumbangkan BN dan menguasai Kerajaan Pusat dan negeri. Hal pembangunan dan perpaduan antara kaum itu ditolak tepi terlebih dahulu.
Keutuhan Perikatan/BN bukan sahaja tercalar pada PRU-12, 2008 yang lalu, tetapi pernah mengalami kemerosotan politik pada 1969, apabila politik perkauman sempit mengambil tempat. Ia berlaku apabila sejumlah pengundi Melayu beralih kepada Pas dan orang bukan Melayu kepada DAP. Tetapi apabila Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara pada 1970, BN kembali kukuh dan kaum Cina kembali kepada BN.
Sehinggalah pada 2004 sokongan kaum Cina tidaklah berkurangan, tetapi pada 2008, ternyata orang Cina dan India beralih semula sokongan kepada DAP dan pakatan pembangkang. Pada hemat saya, sokongan mereka itu tidak kekal, sebab tingkah laku pengundi Cina tidaklah selamanya tetap kekal kepada DAP atau pakatan pembangkang.
Berasaskan kepada realiti politik Malaysia, mungkin sokongan terhadap pakatan pembangkang tidak berkekalan sebagaimana yang berlaku pada 1974 atau 2004. Mungkin pendapat ini tidak dipersetujui oleh pemerhati yang mirip pembangkang, kerana situasi dulu tidak sama dengan yang terdapat hari ini, tetapi itulah politik. Sejarah boleh berulang.
Persoalan masih timbul dalam kalangan para penganalisis politik dan ahli-ahli politik kini iaitu apakah realiti politik di Malaysia dan apakah trend sokongan kepada pembangkang seperti PRU-12 yang lalu akan berkekalan dan muncul lagi pada PRU-13?
DAP yang merupakan parti pembangkang kaum Cina terbesar bergerak mara hingga membentuk kerjasama longgar dengan Pas pada 1999 dan kemuncaknya pada PRU 2008 dengan PKR yang turut serta mewujudkan pakatan sebagai pembangkang tunggal yang mencabar BN, dilihat menghadapi masalah dengan rakan-rakan komponennya.
Walaupun DAP dalam pakatan pembangkang, ideologi mereka masih tidak sama dengan ideologi Pas. Tindakan pentadbiran di Pulau Pinang semacam tidak menggambarkan kerjasama dengan Pas atau PKR. Sebagai komponen utama pakatan pembangkang, Pas dan PKR juga tidak bersuara dalam hal-hal seperti ini. Ini berbeza dengan BN yang tentunya tidak menolak sama sekali akan realiti masyarakat dan sejarah negara ini yang berpaksikan kemajmukan!
Pendek kata MCA, MIC dan Gerakan lebih praktikal dan tahu akan sejarah pembentukan negara ini dan menyedari bahawa tanpa bekerjasama dengan UMNO yang ketika merdeka dahulu mewakili sebahagian besar orang Melayu, keadaan nasib kaum Cina dan India tidak terjamin.
Begitu juga PKR yang pada mulanya disemarakkan oleh Anwar Ibrahim yang memimpin PKR dan pakatan pembangkang, maka DAP berserta dengan Pas juga menghadapi masalah walaupun pada PRU-12 berjaya mempengaruhi sebahagian daripada pengundi Cina untuk menyokong perjuangan PKR yang dikatakan mirip ideologi DAP, tetapi kini arah tuju pemimpin itu sudah tidak keruan.
Sejarah berulang semula! Gelagat Pas kelihatan kurang sedar akan taktik DAP dan PKR yang mahu menjadikannya alat! Apakah kesudahannya DAP yang mahu menjadi jaguh kaum Cina dan semakin berlagak menjadi jaguh pakatan pembangkang? Apalagi dengan Anwar berdepan dengan masalah peribadinya.
Pakatan pembangkang meniupkan anti-UMNO dan BN serta bercita-cita hendak menukar sistem politik Malaysia kepada republik dan menentang sebahagian daripada Perlembagaan negara jelas telah berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi Cina dan juga Melayu yang tidak begitu faham dengan sejarah dan selok-belok politik negara ini (besar kemungkinan faktor sejarah kenegaraan kurang dititikberatkan di kalangan generasi muda!)
Ideologi DAP tidak mengakui hakikat masyarakat berbilang kaum dan tidak mengakui politik berasaskan kerjasama antara kaum. DAP masih mengharapkan kerja sama dari Pas dan PKR tetapi kedua-dua parti itu juga tidak dapat dibuktikan boleh memberi jaminan kesejahteraan kepada semua kaum di negara ini.
Trend kini saya lihat, kehadiran pengundi bukan Melayu telah menyerap di banyak kawasan Parlimen/DUN yang dulunya didominasi pengundi Melayu hingga menyebabkan daripada 80 peratus Melayu kepada hampir 50 peratus sahaja. Pada PRU-PRU sebelum ini tidak menjadi masalah kerana pengundi bukan Melayu itu menyokong BN. Kini mereka beralih kepada pembangkang!
Nampak kini kebanyakan kerusi Parlimen terutama di Pantai Barat Semenanjung, pengundi bukan Melayu semakin menjadi penentu kemenangan BN atau pakatan! Pemimpin UMNO kena lihat landskap politik seperti ini, jangan sampai mereka menyeberang sempadan yang boleh menggerhanakan sokongan rakyat kepada BN!
Pada hemat saya, berdasarkan kepada teori politik di Malaysia, politik pragmatik dan pelbagai kaum adalah paling sesuai, dan yang berasaskan perkauman sempit tidak dapat diterima untuk jangka panjang.
Sebab itu kerjasama antara parti politik dalam BN kelihatan lebih ikhlas walaupun dikata pembangkang sebagai parti yang usang. Tetapi itulah realiti politik Malaysia, yang majmuk sifatnya, yang perlu bertoleransi, tidak semudah itu bermain politik perkauman! Politik geram dan sentimen kaum tak ke mana. Percayalah.

PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12

Tiada ulasan: