SEORANG kolumnis akhbar Sunday Star semalam
menegur Majlis Peguam yang disifatkan beliau mengambil pendirian
berpihak apabila meluluskan resolusi mengecam tindakan pihak polis ke
atas peserta perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.
Teguran itu dibuat oleh Roger Tan yang merupakan seorang peguam kanan
dan bekas ahli Majlis Peguam dalam ruangan 'Comment', halaman 30.
Dalam artikel bertajuk 'Tidak dipengaruhi oleh perasaan takut atau
memihak' beliau menulis, Majlis Peguam dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa
pada 11 Mei lalu telah meluluskan usul mengandungi 12 resolusi yang
berkaitan perhimpunan Bersih 3.0, dengan sokongan majoriti yang besar.
Keputusan 939 orang yang mengundi memihak dan 16 menentang perlu
dihormati. Hujah bahawa ia tidak mewakili semua 14,000 ahli majlis itu,
tidak mempunyai asas kerana Seksyen 66, Akta Profesion Undang-Undang
1976 (LPA) adalah jelas menyatakan usul boleh dibuat jika majoriti
mengundi menyokongnya.
Dengan prinsip utama ini, Tan menyatakan untuk rekod, sebab-sebab
sama ada betul atau salah, mengapa beliau tidak boleh menyokong resolusi
berkenaan.
Pertama dan paling penting kata Tan, ia mesti diakui bahawa resolusi
ke-12 telah dipinda untuk memasukkan antara lain bahawa (1) Majlis
Peguam bimbang dan tidak menyetujui apa-apa tindakan keganasan dalam
perhimpunan awam dan tindakan sedemikian oleh para peserta, bukanlah
satu tindak balas yang bersesuaian terhadap pihak polis dan (2) Majlis
Peguam juga khuatir dengan laporan bahawa terdapat orang tertentu telah
menyeberangi melalui halangan polis ke Dataran Merdeka.
Tetapi pindaan ini adalah bertentangan sama sekali dengan bahasa yang
digunakan dalam keseluruhan resolusi berkenaan untuk mengutuk kekejaman
polis dan cara bagaimana pihak polis mengendalikan perhimpunan pada
hari berkenaan.
Tan merasakan bahawa hanya dengan menyuarakan kebimbangan terhadap
peserta Bersih 3.0 yang melanggar undang-undang adalah tidak cukup kuat.
Majlis Peguam, pada pandangan beliau perlu dilihat berada di barisan
hadapan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa mengira sama ada
polis atau penunjuk perasaan yang telah melanggar undang-undang.
Jika Majlis Peguam mahu mengecam dan mengutuk kekejaman polis, ia
perlu melakukan perkara sama terhadap tindakan penunjuk perasaan yang
telah berlagak seperti perusuh dan penganut fahaman anarki yang
menyerang anggota polis dan melompat serta merosakkan kenderaan polis.
Kedua, Tan tidak mahu Majlis Peguam menghukum sebelum memeriksa
isu-isu. Menurut cara ayat-ayat resolusi pertama disampaikan, ternyata
Majlis Peguam telah membuat kesimpulan bahawa semua perbuatan yang
disenaraikannya telah dilakukan oleh pihak polis. Sebaliknya, ayat-ayat
resolusi ke-12 berhubung perlakuan peserta Bersih 3.0 dinyatakan secara
sangat berhati-hati termasuk menyebut rempuhan halangan polis adalah
berdasarkan kepada laporan-laporan.
"Sebagai peguam, kita telah dilatih bahawa walaupun kita telah
menyaksikan seseorang menembak orang lain, ia tidak bermakna dia secara
automatik bersalah kerana membunuh. Mungkin ada faktor lain yang boleh
meringankan hukuman yang memerlukan siasatan lanjut," kata Tan.
Adalah benar bahawa laporan telah disusun oleh 80 pemantau daripada
Majlis Peguam. Bagaimanapun, laporan akhir hanya diemelkan kepada
ahli-ahli pada malam sebelum hari mesyuarat dan ini telah menimbulkan
tuduhan bahawa laporan itu disesuaikan supaya menyokong resolusi
berkenaan.
Identiti 80 pemantau juga tidak dinyatakan. Tan ingin tahu
kecenderungan politik mereka dan ingin membaca, sebagai contoh, komen
dan pandangan mereka mengenai Bersih yang dinyatakan dalam media sosial,
untuk memuaskan dirinya bahawa mereka berfikiran bebas dalam membuat
kesimpulan, tidak dipengaruhi oleh apa jua kepercayaan politik atau
sosial yang mereka mungkin ada.
Ini adalah sangat mustahak, kerana Majlis Peguam telah diminta untuk
membuat satu kesimpulan berdasarkan laporan kumpulan pemantau terbabit.
Jika benar, tidak dapat disangkal juga bahawa kumpulan pemantau
terbabit boleh dituduh sebagai seorang pendakwa dan hakim pada masa yang
sama hanya kerana tiga ahli mereka mendakwa telah diserang oleh polis.
Jika kita telah menasihati orang lain supaya tidak bertindak balas
dalam keadaan marah, kita juga mesti dilihat dapat menahan diri daripada
melakukan perbuatan sama kerana kita sepatutnya menegakkan keadilan
tanpa mengambil kira kepentingan diri kita sendiri atau ahli-ahli kita
dan tidak terpengaruh oleh perasaan takut atau pilih kasih.
Kerana sebab utama ini, Tan lebih suka untuk menunggu penemuan sebuah
badan bebas seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
sebelum membuat satu penghakiman mengenai isu ini.
Seperti banyak pihak lain, Tan sudah pasti ingin tahu kenapa beberapa
anggota polis dan penunjuk perasaan telah bertindak balas. Pemantauan
bukan penyiasatan, tetapi hanya pemerhatian.
Ketiga, Tan juga telah mencadangkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim
perlu meminta maaf kerana orangnya dilaporkan telah mengalih halangan
polis.
Bagi Tan, membuang halangan adalah titik pencetus. Sudah tentu, tiada
alasan bagi pihak polis untuk bertindak balas secara tidak seimbang
kepada perbuatan melanggar perintah mahkamah agar tidak memasuki Dataran
Merdeka.
Bagaimanapun, mengikut pertimbangan akal yang biasa bahawa dalam
apa-apa pertengkaran, sesiapa yang mula-mula mengangkat tangannya
terhadap yang lain adalah selalunya yang paling patut disalahkan.
Dalam kes ini, jika halangan tidak dialihkan, kita akan dapat
menyaksikan perhimpunan aman awam yang terbesar dalam sejarah negara
kita dan kedua-dua kumpulan yang berbeza fahaman politik boleh sama-sama
menuntut pujian untuk itu.
Tan tahu apa yang ditulisnya menyakitkan untuk dibaca oleh beberapa
ahli Majlis Peguam. Ia sudah tentu bukan satu cubaan untuk
memecah-belahkan Majlis Peguam, tetapi untuk mengukuhkannya.
Sebagai bekas ahli Majlis Peguam, Tan lebih daripada khuatir jika ia
tidak dilihat sebagai dwipartisan dalam menegakkan kedaulatan
undang-undang.
Adalah menyedihkan jika orang ramai dibawa untuk berfikir bahawa
Majlis Peguam bersikap tidak apa dengan orang yang melanggar
undang-undang.
Pada fikiran Tan, dengan demokrasi berparlimen yang telah matang di
negara kita, sesiapa jua yang berusaha tanpa justifikasi penuh untuk
mencontohi Martin Luther King atau Mahatma Gandhi dalam masa dan situasi
yang berbeza dengan yang dihadapi tokoh ini, boleh disamakan sebagai
mengamalkan politik demagog atau amalan politik untuk memperoleh
kekuasaan dengan cara menghasut dan membakar emosi rakyat.
"Sekarang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah
memberi pandangan. Saya bersetuju dengan beliau bahawa Majlis Peguam
perlu menghapuskan persepsi bahawa ia dimonopoli oleh pembangkang.
"Persepsi bahawa ia sentiasa menentang kerajaan telah wujud sejak
sekian lama. Saya masih ingat program Berjalan Untuk Keadilan pada 26
September 2007. Beberapa ahli telah menyuarakan kebimbangan bahawa
beberapa ahli politik yang bukan peguam telah dibenarkan untuk mengambil
bahagian," kata Tan.
Beliau juga pernah mengugut untuk memboikot Majlis Makan Malam Untuk
Keadilan yang diadakan pada 17 April 2008, untuk memberi penghormatan
kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman 1988 kerana pihak
penganjur pada mulanya hanya mahu pemimpin pakatan pembangkang (dengan
mengecualikan pemimpin parti komponen Barisan Nasional) dijemput untuk
menghadiri acara tersebut.
Ini tidak boleh diterima oleh Tan kerana acara tersebut telah
dianjurkan secara bersama oleh Majlis Peguam dan ia perlu dilihat
sebagai tidak terlibat dalam politik.
Itulah sebab kenapa Majlis Peguam mempunyai keris Melayu pada logonya
yang dilukis seorang pelajar undang-undang Universiti Teknologi Mara
(UiTM) dalam pertandingan melukis logo yang diadakan pada awal 1980-an
dan kita tidak mempunyai masalah dengan perkara itu.
Malah, reaksi untuk menubuhkan Akademi Undang-Undang bukanlah sesuatu
yang baru. Pada November 1991, Presiden Persatuan Peguam Muslim ketika
itu, Datuk Zaid Ibrahim, mahu Majlis Peguam dibubarkan atau ahli-ahlinya
keluar secara beramai-ramai jika ia tidak dapat menerima dan
menghormati Tun Hamid Omar sebagai Ketua Hakim Negara ketika itu.
Zaid berkata, kerajaan harus mempertimbangkan dengan serius untuk
menubuhkan badan alternatif iaitu Akademi Undang-Undang yang boleh
bekerjasama dengan badan kehakiman jika Majlis Peguam tidak dapat
menamatkan persengketaan dengan Tun Hamid.
Seperti mana kita tidak suka badan kehakiman dianggap prokerajaan,
orang lain juga tidak mahu Majlis Peguam dianggap sebagai
propembangkang.
Seperti yang pernah diungkap bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed
Suffian: "Dua ciri utama kedaulatan undang-undang adalah kebebasan
Majlis Peguam dan kebebasan badan kehakiman."
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan