5 Mei 2012

Sultan Ahmad Shah kecewa tindakan pihak cuba huru-harakan negara

KUANTAN 3 Mei - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah terkilan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba mengkucar-kacirkan negara dengan mengadakan tunjuk perasaan.
Titah Sultan Ahmad Shah, baginda juga sedih kerana jika diperhatikan, kebanyakan rakyat yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu adalah orang Melayu.
"Saya kecewa dengan keadaan negara yang tercinta ketika ini, huru-hara akibat daripada tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Ia bukan sahaja merosakkan harta benda awam malah boleh mengancam keselamatan orang ramai,'' titah baginda ketika Majlis Pelancaran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Islam (UIAM) Kuantan di sini hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin.
Perhimpunan haram Bersih 3.0 yang dianjurkan di Dataran Merdeka Sabtu lalu menyaksikan para peserta bertindak ganas ketika mengadakan demonstrasi itu.
Peserta terlibat turut merosakkan harta benda awam dan kerajaan termasuk menterbalikkan sebuah kereta peronda polis, selain memaki hamun serta memukul anggota pasukan keselamatan.
Sultan Ahmad Shah bertitah, orang Melayu sepatutnya menjadi contoh kepada kaum lain dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur.
"Jika ada rakyat yang tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara, mereka perlu menyelesaikan dengan cara yang berhemah dan menggunakan saluran yang betul. Hormatilah undang-undang negara ini," titah baginda.
Oleh itu Sultan Ahmad Shah menyeru semua rakyat supaya bersama-sama menjaga keharmonian negara agar ia terus aman dan makmur untuk masa hadapan.
/HWA: utusan.com.my | 4/5/12

Tiada ulasan: