
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
*****
KUALA LUMPUR 15 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP,
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) menegaskan, beliau tidak akan
kembali kepada parti itu biar pun dipujuk oleh sesiapa juga.
Sambil menyifatkan tindakan meninggalkan DAP dilakukan secara bermaruah, beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad.
"Saya cuma kata perhimpunan Bersih 3.0 adalah aktiviti haram, mengapa
saya perlu dikecam dan sekarang bila saya buat keputusan untuk
tinggalkan parti, baru nak kecoh minta saya kembali.
"Tidak kira siapa juga yang berhasrat mahu memujuk saya, keputusan
saya adalah muktamad. Saya keluar secara bermaruah dan tidak sesekali
terfikir untuk kembali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta beliau kembali kepada parti itu.
Semalam, Tunku Abdul Aziz membuat keputusan keluar daripada DAP
berkuat kuasa serta-merta selepas dikecam kepimpinan parti itu kerana
mengkritik Bersih 3.0.
Tunku Abdul Aziz menegaskan, DAP seharusnya berfikir panjang sebelum
mengecam beliau kerana mengkritik perhimpunan haram tersebut yang
diadakan pada 28 April lalu.
Beliau berkata, keputusan meninggalkan DAP mungkin bukan sesuatu yang
mengejutkan kepimpinan parti tersebut kerana mereka mungkin sudah
menduganya sejak awal lagi.
Menurut Tunku Abdul Aziz, peletakan jawatan beliau dapat dielakkan
jika DAP memberikan platform yang luas kepadanya untuk menyuarakan
pendapat.
"Mereka tidak berfikir panjang sebelum mengkritik saya, tetapi kini baru hendak sedar, ia sudah terlambat," tegasnya.
/HWA: utusan.com.my | 16/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan