KUALA LUMPUR 12 Mei - Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak malam tadi di hadapan lebih 100,000 anggota UMNO, dianggap sebagai
bekalan dan peringatan penting kepada anggota parti itu sebelum pilihan
raya umum ke-13.
Masing-masing menganggap ucapan Presiden UMNO itu sebagai pembakar
semangat untuk semua anggota UMNO berjuang habis-habisan untuk
merealisasikan isi perjuangan parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ucapan itu
mesti difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tenaga dalam memastikan
UMNO terus relevan dan kekal dalam perjuangannya.
"Seperti apa yang dikatakan oleh Presiden kita mesti bersiap siaga
dalam menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO merupakan parti yang
amat berjasa kepada rakyat dan ia perlu kekal," katanya kepada pemberita
selepas perhimpunan ulang tahun ke-66 UMNO di Stadium Bukit Jalil di
sini malam tadi.
Shafie menarik perhatian berkata perhimpunan itu memberi gambaran
bahawa anggota parti sudah bersedia berjuang untuk mengembalikan
kegemilangan sebagai parti Melayu terunggul.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
berharap agar semua anggota UMNO memberi komitmen yang penuh untuk
melaksanakan apa yang diucapkan oleh Presiden parti.
"Apa yang disampaikan oleh Presiden terbukti bukan sekadar retorik, kita harus bekerja dengan lebih keras lagi," katanya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan ucapan
Najib penuh dengan semangat dan jelas menunjukkan bahawa perpaduan
bangsa Melayu semakin kukuh.
Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
mengingatkan semua anggota parti khususnya Puteri UMNO supaya menghayati
amanat daripada Presiden parti agar bekerja keras bagi memastikan
kemenangan berpihak kepada UMNO pada pilihan raya akan datang. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan