KUALA LUMPUR 10 Mei - Presiden Datuk Seri Najib
Tun Razak berkata, perjuangan parti itu sudah terbukti memberikan
manfaat dan melimpahkan nikmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum, agama mahupun fahaman ideologi.
Katanya, UMNO sesungguhnya ialah pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik.
"Keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut
nadi serta menggarap aspirasi rakyat. Tuduhan liar pihak tertentu bahawa
UMNO ialah parti rasis, antidemokrasi mahupun parti elitis tidak benar
sama-sekali,'' katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun UMNO Ke-66
yang akan disambut esok.
Bagaimanapun, Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak alpa
dengan kejayaan dicapai sebaliknya terus memugar semangat yang mendasari
penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan
bumi tercinta.
''Masa berlalu persekitaran berubah, cabaran parti erapasca merdeka
sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pramerdeka dan ketika awal
merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.
''Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini
tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan
dinostalgiakan,'' katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai tugas yang
amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu
massa terhadap Dasar Transformasi Nasional berserta semua komponennya ke
arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua
rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat
peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.
''Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam
perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar
dan mulia.
''Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi
memastikan masa depan bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh
berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti memastikan kejayaan parti terutama dalam
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Marilah kita bersama-sama
memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia
yang sejahtera, maju dan makmur,'' katanya.
/HWA: utusan.com.my | 11/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan