9 Jun 2012

Ditolak oleh golongan ‘parasit’

SHAH ALAM 6 Jun - Beberapa pemimpin Pas, termasuk Ahli Parlimen parti itu kecewa kerana cadangan muzakarah dengan UMNO demi perpaduan Melayu tidak dapat dilaksanakan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kekecewaan itu diluahkan sendiri oleh beberapa pemimpin Pas yang bertemunya secara peribadi.
Tambah beliau, pemimpin Pas itu merupakan kumpulan yang mampu berfikir secara realistik dan sedar mengenai kepentingan bermuzakarah dengan UMNO sekali gus berharap ia dapat direalisasikan.
“Mereka yang menolak muzakarah antara UMNO dan Pas sebenarnya adalah golongan parasit dalam Pas yang pemikiran mereka telah dipengaruhi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Minggu Destini Siswa Bersama Tokoh di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sikap pembangkang yang menolak sebarang usaha muzakarah di antara UMNO dan Pas meskipun ia dilihat banyak memberi manfaat kepada orang Melayu dan umat Islam.
Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, muzakarah itu tidak seharusnya dilihat dalam konteks penubuhan kerajaan perpaduan semata-mata tetapi tumpuan dalam mencari persefahaman antara kedua-dua parti.
Tambahnya, pemimpin kedua-dua parti juga perlu menunjukkan kematangan dengan bersama-sama mencari kekurangan dan membetulkannya dalam semangat kerjasama.
“Mungkin daripada segi ideologi politiknya kita berbeza dan sebab itu kita perlu adakan muzakarah bagi mencari persamaan dalam perjuangan.
“UMNO sentiasa bersedia menerima sebarang kritikan membina daripada mana-mana pihak dan bukannya pembohongan atau fitnah jahat semata-mata," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/6/12

Tiada ulasan: