Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah
kehebatan dan keistimewaan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin Parti
Keadilan Rakyat (PKR) sehingga apa juga isu yang melibatkan mereka
seolah-olah berakhir begitu sahaja.
Cuba fikirkanlah bermula dengan pembohongan penubuhan kerajaan
melalui pintu belakang selepas pilihan raya umum 2008, masalah salah
laku moral sehinggalah kepada pengumpulan harta yang luar biasa
pemimpin-pemimpin PKR seolah-olah sentiasa selamat.
Selain itu, mereka juga tidak dikenakan apa-apa tindakan biar pun
terang-terang melakukan fitnah dengan membentangkan fakta yang tidak
benar mengenai pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Malahan seolah-olah tanpa perasaan malu, mereka akan muncul di
khalayak ramai untuk terus mempertahankan fitnah mereka, biar pun fakta
menunjukkan sebaliknya.
Mereka juga menolak semua dakwaan yang dikenakan ke atas mereka dan
berhujah semua itu berlaku hanya kerana 'dosa mereka melawan UMNO.'
Oleh itu buatlah desakan sebanyak manapun, bentanglah ribuan fakta
atau apa sahaja ia sedikit pun tidak akan menjejaskan pemimpin-pemimpin
PKR itu ada yang antaranya telah dianggap anugerah tuhan bagi rakyat
Malaysia.
Keadaan ini berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang akan
diserang habis-habisan biarpun dakwaan ke atas mereka hakikatnya
benar-benar satu fitnah oleh pembangkang.
Sikap pemimpin BN yang sanggup melepas jawatan bagi membolehkan
siasatan rapi dijalankan ternyata secebis pun tidak ada pada
pemimpin-pemimpin PKR.
Inilah corak politik yang diamalkan oleh pembangkang sehingga
memungkinkan mereka meraih sokongan yang tidak sepatutnya apatah lagi
daripada sesetengah rakyat yang tidak mahu berfikir panjang.
Tetapi faktor utama kenapa pemimpin-pemimpin PKR menjadi kebal adalah
disebabkan sokongan tidak berbelah bahagi Pas. Walaupun telah
mencetuskan pelbagai kontroversi dan tindakan yang tidak sepatutnya
namun pemimpin-pemimpin PKR sentiasa selamat.
Ini kerana pemimpin-pemimpin Pas akan muncul sebagai pembela mereka
dan akan menuduh apa yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin PKR adalah
konspirasi politik UMNO.
Malahan ada tok guru Pas yang begitu menyanjung seorang pemimpin PKR
dan menganggap apa yang berlaku kepada pemimpin itu hanyalah fitnah yang
dibuat oleh UMNO sejak dulu lagi.
Oleh itu cakaplah apa sahaja fasal pemimpin berkenaan, beliau pasti
selamat kerana disokong oleh tok guru dan penyokong tegar Pas. Dan
keadaan ini juga tentulah menggembirakan DAP yang juga rakan sekutu Pas
memandangkan Pas sentiasa ke depan membela rakan-rakan dalam pakatan
pembangkang.
Usahlah kita bercakap atau bertanya kenapa Pas tidak melihat dari
segi Islam kerana ia hanya membuang masa memandangkan Pas bukan parti
Islam sebaliknya Pas sama sahaja dengan DAP dan PKR.
/hwa: utusan.com.my | 9/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan