SEMASA singgah minum di sebuah gerai di Bukit
Bunga sewaktu pulang ke rumah mertua di Tanah Merah, Kelantan minggu
lepas, berbuallah penulis dengan abang ipar dan beberapa rakannya.
Antara topik yang hangat dibincangkan berkisar dengan rancangan Pas
yang mentadbir negeri sejak 1990 lagi untuk membina sendiri Lebuh Raya
Kuala Krai-Kota Bharu bernilai RM1.8 bilion (anggaran ketika ini). Lebuh
raya itu dinamakan Pas sebagai 'lebuh raya rakyat' dengan harapan
rancangan itu 'dekat dengan jiwa' rakyat Kelantan.
Namun, topik mengenai 'lebuh raya rakyat' itu tidak banyak mengulas
'komitmen' kerajaan Pas pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini.
Tetapi lebih banyak berbaur ungkapan sinis daripada rakan-rakan abang
ipar mempersoalkan kesungguhan Pas dalam projek tersebut.
"Nak ketawa pun ada sebab ada laluan untuk binatang buas lagi... wah!
memang hebat rancangan 'tok guru' ni... jambatan Palekbang-Kampung Cina
yang dijanjikan pada 1996 tak terusik lagi, inikan nak buat 'lebuh raya
rakyat' pula," kata salah seorang daripada mereka kepada penulis dalam
loghat bercampur Kelate/Kuala Lumpur.
Seorang lagi menyampuk: "Kita minta Pas jangan autalah, kami tahu ini cuma kenyataan politik, tak akan berlaku pun."
Memang kalau dikira secara logik akal, memang susah dan sebenarnya
mustahil untuk merealisasikan projek ini jika hanya bersandarkan kepada
sumbangan individu. Apa lagi kalau dijolok dengan akaun nombor bank
tertentu. Ini bukan soal 'angkuh' kerana mempersoalkan kemampuan Pas
tapi hakikatnya memang begitupun.
Kenapa sudah lebih 20 tahun memerintah, kerajaan Pas tak buat apa
pun. Ini, 'alih-alih' kerana demam pilihan raya umum, sudah menggelabah
tak bertempat.
Kalau tak percaya, pergilah kita tinjau batu asas untuk membina
jambatan Palekbang-Kampung Cina. Batu asasnya masih ada di situ, tapi
tulisannya yang tertera nama projek, dah tak ada lagi. Ini bukan dikira
janji auta Pas lagi, tapi ikut resam orang Islam, dah kira berdosa,
menipu rakyat.
Diam tak diam, bukan Pas bina jambatan sebaliknya Kerajaan Pusat BN
yang tunaikan janji Pas itu dengan membina jambatan di Kampung Sireh
untuk mengurangkan kesesakan bandar Kota Bharu.
Hakikatnya, bukan Pas sahaja yang 'bermain tarik tali' menjanjikan
'langit dan bintang' kepada rakyat Kelantan tetapi sekutu mereka, PKR -
demikian juga perihalnya.
Di Selangor, cuba kita nilai pencapaian kerajaan PKR negeri mentadbir negeri terkaya tersebut.
1. Anggota Parlimen kawasan Subang dari PKR, R.Sivarasah menjanjikan
setiap keluarga akan mendapat rumah baru di Jalan Pluto menjelang 2010.
Tapi lihatlah apa yang berlaku apabila 57 keluarga di Kampung Bunga
Raya, Petaling Jaya melakukan mogok lapar membantah kerajaan PKR
Selangor kerana gagal mengotakan janji pilihan raya umum lepas untuk
menyediakan rumah baru kepada mereka. Projek perumahan yang bermula 2008
telah terbengkalai hingga Januari 2012 (kemudian dibantu BN),
menyebabkan keluarga terbabit mengalami penderitaan dan rasa tertipu.
2. Datuk Dr. Hasan Ali yang ketika itu Exco Agama Selangor pernah
mengeluarkan kenyataan larangan menjual arak di kawasan majoriti Muslim.
MBSA kemudian bertindak merampas arak di sebuah kedai serbaneka 24 jam
yang dijual di kawasan itu (Shah Alam).
Bagaimanapun, seorang lagi Exco dari DAP, Ronnie Liu mengarahkan MBSA
memulangkan semula arak yang dirampas. Katanya, bir bukan kategori arak
(bawah 8.8% alkohol) serta tidak memerlukan lesen jualan. Pas dan DAP
tidak sehaluan dalam isu ini. Akhirnya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim memutuskan kawalan terletak pada kehendak kedai sendiri
tanpa ada larangan menjual di kawasan majoriti Muslim.
3. Kerajaan negeri membuat unjuran RM150-RM200 juta setahun untuk
hasil pasir. Sebaliknya, jumlah pengeluaran pasir negeri hanya RM22
juta. Kerajaan negeri hanya mengutip RM4 juta dari doket pasir dan RM7.5
juta melalui Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Hanya RM11.5 juta dari
RM22 juta masuk ke dalam kantung negeri.
4. Rumah-rumah urut semakin banyak di Selangor daripada 700 buah
meningkat sehingga 4,000 buah sepanjang dua tahun (2008-2010). Didapati,
lebih sebahagian besar daripadanya ialah warga asing sebagai pelacur.
Dilaporkan pelajar sekolah turut terlibat melanggan pelacur dengan
bayaran serendah RM30.
5. Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pernah mendedahkan dia
menerima 25 kes aduan kes kecurian pasir di Selangor serta mendakwa ia
berpunca daripada sikap 'lepas tangan' Menteri Besar. Manikavasagam
kemudian diugut dengan cat merah di kediamannya.
6. PKR bercadang membuka 10% kuota pelajar di UiTM kepada bukan
bumiputera. Ini mengurangkan kira-kira 12,000 kuota bumiputera setiap
tahun. Ekoran itu, ribuan mahasiswa UiTM seluruh negara mengadakan
bantahan besar-besaran serta menyerahkan memorandum bantahan kepada
Pejabat Menteri Besar.
7. Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan Naib Canselor Universiti
Selangor (Unisel) kerana tekanan politik oleh kerajaan negeri. Beliau
tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel seperti yang
diarahkan MB Selangor. Beliau turut mendedahkan campur tangan pakatan
pembangkang terlalu kuat di universiti itu.
8. Projek UiTM Serendah yang telah diluluskan telah diarahkan oleh MB
dibatalkan serta-merta atas alasan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)
Selangor lambat membayar cukai. Sebenarnya, isu tercetus apabila MB
berang kerana tidak dilantik sebagai Pengerusi YBK negeri.
Dalam hal ini, penduduk berhak mendapat pembangunan, ekonomi dan pendidikan tetapi dinafikan kerajaan negeri.
9. Projek membina jeti dan empat buah rumah nelayan di Pasir
Penambang oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diarahkan kerajaan
negeri (melalui Ronnie Liu) agar dihentikan kerana rumah terbabit
dikatakan terlalu dekat dengan tokong.
Padahal LKIM dan penduduk sudah sepakat sebelum itu. Tanah seluas 0.4
hektar dan ganti rugi RM15,000 diberi kepada pihak tokong manakala
RM80,000 dibayar kepada penduduk yang dipindahkan. Projek ini sangat
berfaedah untuk nelayan.
Tokong terbabit pada asalnya memang bersebelahan dengan rumah, cuma
kerajaan negeri kononnya mahu menjadi pembela. Akibatnya, apabila Ronnie
Liu datang ke kampung itu, dia diherdik dan di'boo' oleh 200 penduduk
Cina di situ.
10. Kerajaan negeri bertindak menaikkan kadar sewa rumah Projek
Pembangunan Rakyat (PPR) di Kota Damansara dan Lembah Subang daripada
RM124 kepada RM250 sebulan. Sedangkan, kebanyakan penduduk berpendapatan
kurang RM600 sebulan dan terdiri daripada golongan miskin, OKU, ibu
tunggal dan warga emas.
Hakikatnya, 'lebuh raya rakyat' yang dicanangkan kerajaan Pas
Kelantan tidak akan direalisasikan. Ia sama seperti mana banyak janji
yang belum tertunai di Selangor.
Rancangan Pas memang gah, tetapi hikmah di sebalik janji auta itu pasti cepat dihidu rakyat.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan