KUALA LUMPUR 15 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak menyaman dan
memulakan tindakan mahkamah terhadap bekas Penolong Gabenor Bank Negara
Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berhubung dakwaan mengawal 20
akaun induk bernilai RM3 bilion.
Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari berkata, sekiranya Anwar
tidak menyembunyikan apa-apa rahsia di sebalik akuan berkanun Abdul
Murad mengenai pemilikan 20 akaun itu, beliau sewajarnya telah memulakan
tindakan mahkamah kerana ia mencemarkan nama baiknya.
"Saya mendesak Datuk Seri Anwar menjawab dakwaan akuan berkanun Datuk
Abdul Murad yang mengaitkan beliau mengawal 20 akaun induk bernilai RM3
bilion. Dakwaan berkenaan terlalu serius kerana melibatkan akuan
berkanun serta jumlah yang amat besar.
"Saya percaya jika beliau tidak mahu menyembunyikan apa-apa di
sebalik akuan berkanun itu, beliau sepatutnya telah memulakan tindakan
mahkamah terhadap Datuk Abdul Murad kerana mencemarkan nama baiknya.
"Adakah beliau tidak mengambil tindakan mahkamah kerana ada sesuatu
yang mahu dilindungi di sebalik persepsi kekayaan dan hubungan sulitnya
dengan Shamsidar (Taharin) seperti dakwaan Datuk S. Nallakaruppan,''
katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nada sama turut disuarakan oleh seorang bekas ahli Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Hamidzun Khairuddin yang mencabar Anwar menyaman Abdul
Murad berikutan pendedahan yang dibuatnya kira-kira 13 tahun lalu itu.
Hamidzun yakin Abdul Murad mempunyai alasan dan bukti kukuh terhadap
dakwaan serta pendedahan yang dibuatnya sehingga sanggup membuat akuan
berkanun.
/hwa: utusan.com.my | 16/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan