25 Jun 2012

Pas kian terpesong daripada perjuangan asal

KUALA LUMPUR 22 Jun - Siri jelajah bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali kali ke-141 semalam, membuktikan beliau komited memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai ancaman terhadap masa depan mereka, Islam dan institusi raja jika pakatan pembangkang berkuasa.
Dalam ceramah Bicara Memperkasakan Ummah bertajuk Islam, Melayu dan Raja Menuju Kehancuran di padang Klinik Kesihatan Beranang, bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu menyeru rakyat agar menolak pakatan pembangkang, khususnya Pas yang semakin ‘hanyut’ daripada perjuangan sebenar kerana gilakan kuasa.
Tegas Hasan, sejak zaman Ahmad Fuad Hassan hingga Datuk Fadzil Mohd. Noor sebagai Presiden Pas, parti itu sentiasa komited memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam, tetapi sejak bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perjuangan itu ditukar kepada negara berkebajikan.
“Pemecatan saya tanpa sebarang pertuduhan menjadi bukti jelas Pas telah berubah dan tunduk kepada DAP walaupun saya hanya mahu melaksanakan tugas sebagai Exco agama dalam memastikan akidah umat Islam di Selangor terjaga.
“Jika usaha saya menyelamatkan akidah umat Islam hanya ditentang oleh DAP dan PKR mungkin itu perkara biasa, tetapi amat malang apabila turut mendapat tentangan keras daripada parasit dalam Pas. Ini yang mengecewakan saya," katanya.
Program itu turut menarik penyokong-penyokong Pas untuk hadir mendengar sendiri ceramah bekas Naib Presiden Pas itu.
Hasan turut menyatakan mengenai permintaan isterinya agar tidak membangkitkan isu peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semasa berceramah.
/hwa: utusan.com.my | 23/6/12

Tiada ulasan: