KULIM 8 Jun - Para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya
di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang dinasihatkan belajar daripada
sejarah hitam selepas tewas pada pilihan raya umum lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah tiba
masanya pemimpin berkenaan bangkit semula menebus kekalahan selepas
melalui tempoh yang agak lama iaitu lebih empat tahun.
"Kalau marah, sekarang tak patut lagi. Masa untuk rasa marah, kecewa dan hampa sudah berlalu.
"Sekarang adalah masa bagi kita untuk bangkit dengan kekuatan dan
azam baru," katanya ketika berucap pada majlis Jamuan Makan Malam
Bersama Pemimpin BN negeri di sini malam ini.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan pemimpin
parti komponen BN Kedah.
Menurut Najib, jika pemimpin UMNO dan BN tetap mengulangi kesilapan
lampau tidak mustahil parti itu akan mengalami nasib serupa seperti
pilihan raya umum lalu.
"Pisang tak akan berbuah dua kali jika kita bertekad untuk berubah.
Saya berharap semua dapat bangkit dengan azam baru bagi memastikan BN
kembali berkuasa," katanya.
Pada masa sama, Najib turut menasihatkan pemimpin terlibat bekerja
keras dengan mengutamakan prinsip dan hala tuju yang digariskan parti.
"Marilah kita bekerja keras dan jangan pula membiarkan saya kerja berseorangan.
"UMNO dan BN akan berjaya jika semua pemimpin bekerja dengan cara
berkhidmat, berbakti, bertindak, berstrategi, berkorban dan selebihnya
bertawakal," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 9/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan