26 Jun 2012

PKR Selangor desak MB bertindak

Faekah Husin 
*****
KUALA LUMPUR 24 Jun - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggantung sementara jawatan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dan melakukan siasatan berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, Abdul Khalid seharusnya bersikap konsisten dengan tindakan dan kenyataannya sebelum ini, selain perlu mencadangkan siasatan penuh terhadap Faekah.
''Saya rasa lebih baik digantung dahulu tugas pegawai yang terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Ia juga bagi mengelakkan rasa tidak puas hati. Elok digantung dulu sama seperti kes-kes sebelum ini kerana tindakan itu dilihat lebih konsisten.
''Jadi tidaklah nanti ia menjadi tuduhan-tuduhan besar kononnya Menteri Besar melindungi Setiausaha Politiknya,'' katanya dalam laman blog Antarapos.com di sini hari ini.
Faekah baru-baru ini didakwa telah menyalahgunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan mempunyai hubungan keluarga dengannya.
Shuhaimi seterusnya dilihat mempertikaikan pendirian Menteri Besar dan Faekah berhubung isu surat berkenaan dengan merujuk perenggan terakhir yang ditulis oleh Setiausaha Politik itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Ahmad Omar.
Beliau menyifatkan maksud pada perenggan itu tidak kena pada tempatnya kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses dalaman PNSB melantik panel guamannya.
''Perenggan itu menyebut, 'Pentadbiran ini (Abdul Khalid) juga berpandangan bahawa peluang harus diberikan (kepada syarikat Zeenat Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat,'' katanya.
Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda berpandangan bahawa apabila surat itu dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, maka dari awal lagi ia boleh menimbulkan tanggapan yang terarah kepada 'untuk diberi lantikan kepada syarikat yang terlibat'.
Beliau juga memberitahu, Menteri Besar itu sebelum ini telah mengeluarkan arahan melarang surat-surat berbentuk sokongan daripada jentera kerajaan negeri kepada individu dan syarikat yang mahu mendapatkan projek serta tender kerajaan negeri.
''Jika Menteri Besar pernah mengeluarkan arahan seumpama itu dalam bentuk perniagaan, maka dalam kes ini (Faekah), surat itu nampaknya bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan,'
''ADUN-ADUN pakatan pembangkang masih mengeluarkan surat sokongan, namun dengan peruntukan jelas. Bagi kita, memanjangkan surat atau memberi surat sokongan adalah perkara biasa. Terpulang kepada syarikat terbabit untuk mempertimbangkan atau menolak,'' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/6/12

Tiada ulasan: