ISU sensitif terutamanya melibatkan agama Islam, raja-raja Melayu dan
perkauman seolah-olah menjadi permainan harian berpolitik selepas
Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Walaupun rata-rata rakyat sudah muak dengan cara berpolitik yang
tidak matang dan ekstremis oleh individu mahupun kumpulan politik
tertentu, isu sama terus dimainkan dengan beraninya tanpa segan silu.
Terbaru, isu Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad
Nizar Jamaluddin yang mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran
kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
menerusi laman sosial Twitter miliknya.
Selepas ribuan rakyat Johor berang dan pelbagai pihak berterusan
mengecam keterlanjuran Mohammad Nizar itu, beliau telah menyatakan
kesediaan menghadap Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi
penjelasan.
Walaupun kebanyakan pihak dan blog mengecam keceluparan bekas Menteri
Besar Perak itu, blog PapaGomo (www.papagomo.com) memberi pandangan
berbeza dengan mengaitkannya dengan agenda membunuh karier politik Naib
Presiden Pas, Salahuddin Ayob.
Menurutnya: "Gomo dimaklumkan sewaktu kekecohan mengenai penghinaan
Mohammad Nizar ke atas Tuanku Sultan Johor berhubung plat WWW 1,
Salahuddin begitu marah dengan tindakan itu yang telah menjejaskan
reputasi beliau yang cuba kembali ke negeri Johor dalam pertandingan
PRU13 akan datang.
"Pertelagahan juga didakwa berlaku ketika Salahuddin yang juga Ahli
Parlimen Kubang Kerian dilaporkan berjumpa Mohammad Nizar sehingga
terpaksa diredakan beberapa ahli Pas lain.
"Apa yang Gomo lihat di sini adalah 'game plan' yang dilakukan dalam
mematikan karier politik Salahuddin dengan mencetuskan kemarahan rakyat
Johor yang secara automatiknya akan memastikan Naib Presiden Pas itu
tidak berkesempatan menang jika bertanding di mana-mana kerusi di Johor
pada PRU13.
"Gomo akui Mohammad Nizar bukan bergerak keseorangan dalam isu
tersebut yang mana Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa merupakan
orang yang berada di belakang dalam mengerakkan usaha agar Salahuddin
terkubur karier politiknya," jelas beliau.
Katanya, sekiranya Salahuddin tewas pada PRU13 nanti akibat
penghinaan ke atas Sultan Johor itu, maka pengaruh beliau akan
berkurangan dan menggagalkan usahanya mempertahankan jawatan Naib
Presiden mahupun jika bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.
"Peluang akan lebih tertumpu kepada Husam dari Kelantan serta Mahfuz
yang cukup ligat membiayai pergerakan ahli Pas dan Mohammad Nizar akan
mendapat sokongan daripada pihak Erdogan haluan kiri yang kini menguasai
Pas," dakwa PapaGomo.
Ketika isu tersebut semakin panas dan telah disiasat polis mengikut
Akta Hasutan, timbul pula isu baru melibatkan agama Islam apabila ada
saranan agar ahli Pas menangguhkan ibadah haji tahun ini bagi menghadapi
PRU13.
Blog Pisau.net (www.pisau.net) menempelak tindakan itu yang bertujuan
membolehkan orang Islam meninggalkan haji asalkan boleh 'pakoh bulan'.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan
tidak pernah pula bercadang mengadakan pilihan raya semasa umat Islam
menunaikan haji.
"Pas memang merancang tak mahu rakyat tunaikan haji tahun ini. Tak
pasal umat Islam seluruh negara terpaksa menanggung kesan mereka
'berdemo' di Madinah dan Mekah, sekarang mahu alihkan isu kononnya
kerajaan mahu adakan PRU13 semasa musim haji," ujarnya.
Selain isu haji, blog Pisau.net turut membangkitkan beberapa isu
melibatkan penggunaan agama dalam politik yang berlaku kebelakangan ini.
Ini termasuk video kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang didakwanya menggambarkan 'Islam membenarkan kroni'
seperti yang dilakukan Rasulullah SAW terhadap empat sahabatnya.
Menurutnya: "Sebelum ini pakatan haprak menyelar Barisan Nasional (BN) kononnya mengamalkan kronisme.
"Mereka menyerang BN dan UMNO semata-mata mahu menutup perbuatan
mereka, Nik Aziz bersama anak menantunya, Lim sekeluarga termasuk anak
menantu, ini termasuklah Karpal dan anak-anaknya. Anwar bersama isteri
dan anaknya termasuklah kroni seperti Azmin."
Turut diselar blog Pisau.net adalah kenyataan Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dalam Harakah yang didakwa cuba menyamakan
perjuangan Nabi Muhammad SAW di Mekah dengan perjuangan komunis di
Malaysia demi menyelamatkan Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu
daripada pendakwaan mahkamah.
Tegasnya: "Apa kena mengena Rasullulah SAW berperang dengan kafir dengan perjuangan komunis?
"Adakah komunis memperjuangkan agama Islam? Adakah komunis
mempertahankan bangsa dan tanah air? Murtad pun sudah halal, sekarang
komunis pun dah jadi perjuangan fisabillillah...."
Blog House PK (parpukari.blogspot.com) turut menyelar tindakan
berpolitik parti pembangkang sehingga mencemar agama Islam apabila
Majlis Fatwa Kebangsaan dicap haram kerana ada pihak mahu membela
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S.
Ambiga.
"Aku terpanggil untuk bercakap tentang Presiden Indian Rights Action
Force (Indraf), Tasleem Mohamed Ibrahim yang menjatuhkan hukum 'haram'
kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana katanya majlis itu telah menjatuh
hukuman demonstrasi Bersih 3.0 sebagai 'haram'.
"Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah
Ibrahim telah memaklumkan bahawa majlis berkenaan tidak pernah
mengeluarkan sebarang fatwa berhubung demonstrasi Bersih 3.0 tetapi
memberikan 'nasihat' bahawa perhimpunan dan demonstrasi yang didalangi
oleh pakatan pembangkang itu bersifat 'haram'," katanya.
Tambahnya: "Yang paling aku tak sangka ialah apabila Tasleem
berceramah 'Majlis Fatwa Kebangsaan adalah haram' di hadapan orang-orang
beragama Hindu dalam program 'sembahyang khas' untuk Ambiga.
"Apa kena-mengena Majlis Fatwa Kebangsaan dengan masyarakat Hindu?
Kalau pun nak tarik undi dan sokongan daripada masyarakat India, apa
perlu dia menjaja tentang Majlis Fatwa?
"Majlis Fatwa Kebangsaan kalaupun keluarkan fatwa, ialah untuk orang Islam. Orang bukan Islam, apa kena-mengenanya?"
/hwa: utusan.com.my | 15/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan