
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
*****
JOHOR BAHRU 10 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
sebak ketika menyampaikan titah di hadapan kira-kira 30,000 rakyat Johor
pelbagai kaum dan agama yang berhimpun secara aman di perkarangan
Istana Pasir Pelangi di sini bagi menyatakan sokongan dan taat setia
kepada baginda.
Sambil menitiskan air mata, Sultan Ibrahim bertitah tidak akan melupakan hari ini yang dianggap amat bersejarah.
Dalam titah di perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Penyelaras
Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) itu juga, Sultan Ibrahim turut
menegaskan menjadi amanah kepada baginda sebagai Sultan Johor untuk
menyayangi rakyat negeri ini.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas
ikrar taat setia yang dilafazkan dan ucapan sayang kepada saya. Saya
tidak akan melupakan hari ini yang amat bersejarah.
“Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada,"
titah baginda yang turut ditemani Sultanah Johor, Tuanku Raja Zarith
Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan
Ibrahim dan putera-puteri baginda.
Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima lafaz ikrar taat setia
daripada wakil Gabung, Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat
daripada 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan berkenaan.
Baginda turut bertitah supaya rakyat di negeri ini bersatu padu tanpa mengira kaum mahupun agama.
“Saya minta rakyat semua bersatu tidak kira kaum. Bersatu kita kuat, bercerai kita runtuh," titah baginda.
Himpunan tersebut diadakan ekoran kenyataan Ahli Parlimen Bukit
Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang sebelum ini menerusi
akaun Twitternya mempersoalkan pembelian nombor pendaftaran WWW 1 oleh
Sultan Johor yang dibida pada harga RM520,000.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan