30 Julai 2012

Hasan desak Pas jawab tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pas yang sanggup menukar matlamat perjuangan daripada menubuhkan sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan didesak menyatakan pendirian mengenai tuntutan Persekutuan Kristian Malaysia yang mahu semua agama bebas disebar tanpa sebarang sekatan undang-undang.
Ini kerana sebagai komponen dalam pakatan pembangkang, Pas perlu menjelaskan sama ada bersetuju melaksanakan tuntutan tersebut atau tidak memandangkan persekutuan berkenaan menyeru penganut Kristian memilih parti yang menawarkan kebebasan itu pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, Pas perlu menjawab tuntutan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu kerana seruan sedemikian melibatkan kuasa memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
"Saya ingin lontarkan persoalan apakah Persekutuan Kristian Malaysia menganggap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sekian lama tidak mampu memenuhi tuntutan mereka dan hanya pembangkang yang lebih bersedia untuk melaksanakan segala tuntutan berkenaan?
"Apakah pakatan pembangkang juga bersetuju dengan tuntutan tersebut? Saya tidak mahu tanya DAP mahu pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jawapan kedua-dua parti itu sudah dapat diduga. Sekiranya itu yang dipersetujui, saya mahu tanya Pas. Apakah parti itu setuju untuk melaksanakan tuntutan tersebut?
"Tuntutan itu bukan sahaja bertentangan dengan semangat Perlembagaan tetapi boleh mencetus suasana huru-hara serta bakal menggugat keutuhan Islam sebagai agama Persekutuan dan ini perlu dijawab segera," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.
Pada 18 Julai lalu, Persekutuan Kristian Malaysia menyeru penganut agama itu memilih parti yang mampu menawarkan kebebasan agama merangkumi kebebasan menganut, mengamal, menyebar dan dibenar berkembang tanpa batasan undang-undang, penegahan atau larangan.
Tuntutan itu bertentangan dengan Artikel 11 Perlembagaan Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan serta melarang agama selain Islam disebar kepada umat Islam, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh penganutnya di negara ini.
/hwa: utusan.com.my | 29/7/12 

Tiada ulasan: